SHAH ALAM: Kekeliruan sudut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menjadi punca spekulasi mengaitkan sebuah kenderaan polis Unit Kereta Peronda (MPV) dengan dakwaan 'mengiringi' geng curi kabel di Kampung Tasek Tambahan, Ampang Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, beliau telah membuat semakan tentang dakwaan terbabit dan pihak MPV telah membuat rondaan bagi melaksanakan tugasnya selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti kecurian kabel.
Menurutnya, anggota MPV telah datang buat pengesahan dan membuat tangkapan pada waktu itu.
"Namun nasib tidak menyebelahi MPV apabila beberapa suspek lain telah berjaya menghilangkan diri dan kita sedang usaha kesan lain sedang terlibat.
"Saya sudah membuat semakan, sebenarnya tidak ada kontroversi.
"Anggota MPV yang membuat rondaan berkenaan melaksanakan tugasnya, cuma yang saya lihat dipersoalkan apabila membabitkan sudut-sudut rakaman berkenaan, seolah-olah menimbulkan kontroversi," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.
Tambahnya, dalam kes terbabit seorang lelaki yang memiliki rekod jenayah telah ditahan dan dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta dikenakan denda RM8,000.
Katanya, siasatan juga dijalankan berhubung rakaman CCTV tersebut, namun setakat ini pihak polis memfokuskan aspek bagi mengesan suspek yang masih bebas.
"Ini pentingnya siasatan bagi memastikan pihak mana yang betul dan silap.
"Apa pun juga maklumat seumpamanya memang amat kami hargai. Itu (rakaman video) merupakan bentuk maklumat kepada polis, cuma kita hendak memastikan kesahihan rakaman tersebut dan untuk memastikan ia tidak dimanipulasilan.
"Kita tidak halang penyebaran rakaman itu," ujarnya.
Namun, tegas Shazeli, nasihatnya jangan buat cepat buat kesimpulan berdasarkan rakaman video itu.
"Berkongsi tidak jadi isu. Polis memang amat harap perkongsian maklumat, cuma jangan cepat buat kesimpulan.
"Kongsikan maklumat kepada polis. Cuma jangan buat kesimpulan awal yang belum diketahui hujung pangkal ceritanya yang dibimbangi boleh jadi fitnah," ujarnya.
Sebelum ini, rakaman CCTV berhubung isu itu dari sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian tular di beberapa platform media sosial termasuk Facebook dan Threads.
Rakaman berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet. - Sinar Harian