KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kelangsungan ummah memerlukan kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran serta berlaku adil dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Baginda bertitah, kepimpinan berkesan bukan sekadar bergantung terhadap kedudukan atau kuasa, sebaliknya, terserlah melalui keupayaan membimbing dan menyatukan masyarakat serta membawa mereka ke arah kesejahteraan bersama.
Raja Muda Perlis turut menekankan perkembangan dunia semakin kompleks menuntut pendekatan menyeluruh dengan penglibatan semua pihak termasuk institusi pendidikan, pihak berkuasa, badan agama, sektor industri, pertubuhan masyarakat dan rakyat.
“Setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing secara saling melengkapi bagi memperluas peluang, mempercepat penyelesaian terhadap pelbagai cabaran serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk kemajuan bersama,” titah Tuanku Syed Faizuddin.
Baginda bertitah demikian semasa berkenan menyempurnakan perasmian Seminar Antarabangsa Islam dan Kelestarian Ummah (SIDKUN) 2026 di sini semalam seperti dimaklumkan menerusi kenyataan Istana Arau, hari ini.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kesepaduan antara ilmu agama dengan bidang ilmu semasa, khususnya sains dan teknologi amat penting dalam melahirkan generasi berwawasan, berakhlak mulia, kreatif serta berdaya saing dalam mendepani cabaran dunia moden.
Baginda bertitah, ilmu agama berperanan sebagai panduan dalam membentuk nilai, akhlak dan tujuan kehidupan manakala penguasaan sains, teknologi serta pemikiran moden membolehkan masyarakat memahami perkembangan dunia dan menangani pelbagai persoalan secara lebih berkesan.
“Kesepaduan ini akan melahirkan generasi yang berwawasan, kreatif, berdaya saing dan mampu menghasilkan penyelesaian baharu selaras dengan tuntutan zaman,” titah baginda.
Dalam pada itu, Istana Arau memaklumkan, SIDKUN 2026 anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu menghimpunkan ahli akademik, asatizah serta pengamal industri bagi membincangkan pendekatan dan penyelesaian kontemporari untuk memperkukuh kelestarian ummah.
Istana Arau memberitahu, seminar itu memberi tumpuan kepada peranan syariah gunaan, pemikiran Islam, komunikasi dan pendidikan di samping potensi teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong pembangunan ummah yang mampan dan berteraskan prinsip syariah.
-- BERNAMA