KOTA BHARU: Kelantan akan memperluaskan penggunaan beca pelancong hibrid 'Tek-C' yang menggunakan solar sebagai sumber tenaga menjelang tahun 2024, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Beliau berkata kini terdapat sebuah beca hibrid yang masih dalam proses percubaan dan sekiranya ia terbukti berdaya maju untuk dilaksanakan, penambahan 10 beca Tek-C akan dilakukan.

"Beca ini turut dilengkapi radio dan pembesar suara selain akan dihiasi dengan lampu berwarna-warni bagi menarik perhatian pelancong antarabangsa mahupun domestik.

"Saya harap industri beca ini juga dapat menarik perhatian golongan muda tempatan menceburinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan insentif sebanyak RM600 kepada 17 pengayuh beca pelancong veteran yang berdaftar dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md Anizam berkata beca ini bakal ditempatkan di sekitar lokasi tarikan pelancong di Kelantan seperti Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat.

-- BERNAMA