KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan pada 4 April ini bagi membincangkan kebenaran mendapatkan permit pengangkutan bas Thailand memasuki negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamaruddin Md Noor berkata usaha itu bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat Thailand sekali gus menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

"Berkait isu ini, saya akan mohon kelonggaran Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada tarikh itu bagi mendapatkan kelulusan atau permit bas Thailand memasuki Kelantan.

"Sudah pastinya akan ada syarat-syarat tertentu yang perlu diperhalusi termasuk jumlah bas yang dibenarkan bagi mengambil kira kepentingan pengusaha bas tempatan dan mengelak persaingan yang tidak sihat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung usaha kerajaan negeri dalam menarik kedatangan pelancong asing ke Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 di Program Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, di sini malam tadi yang dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Kamaruddin berkata pihaknya juga telah menggunakan khidmat pempengaruh dari Thailand bagi mempromosikan keunikan yang terdapat di negeri ini selain penyertaan di Thailand Travel Fair di Pattani pada 20 April depan.

Sementara itu, beliau berkata Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini perlu dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa bagi membolehkan pendaratan pesawat yang lebih besar.

"Landasan sedia ada perlu dipanjangkan kepada 400 meter dan kerajaan negeri mempunyai tanah yang mencukupi di kawasan lapangan sedia ada untuk tujuan itu," katanya.

-- BERNAMA