KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan sebanyak 1,089 kes kebakaran terbuka daripada keseluruhan 1,418 kes kebakaran sejak 1 Jan.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata kebakaran terbuka itu melibatkan keluasan lebih 1,618 hektar di seluruh negeri.
Advertisement
“Daripada jumlah itu, 880 kes melibatkan kebakaran belukar diikuti hutan (114 kes), sampah (70 kes) dan ladang (25 kes).
“Daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 400 kes diikuti Bachok (278 kes) dan Pasir Mas (173 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Farhan Sufyan berkata peningkatan mendadak panggilan kebakaran terbuka dilaporkan bulan ini, iaitu sebanyak 64 peratus selari dengan ramalan cuaca kering yang dijangka berlanjutan hingga Jun.
Selain itu, beliau berkata JBPM Kelantan mempertingkat pemantauan, terutamanya di kawasan tanah gambut seluas lebih 7,689 hektar meliputi kawasan di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh dan Pasir Mas.
Farhan Sufyan berkata sebanyak 28 jentera bomba, tujuh lori tangki air berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter serta sebuah jentera hidro-sub di 22 balai bomba seluruh negeri disediakan bagi pengoperasian pembakaran terbuka.
“Walaupun keadaan masih terkawal, cabaran seperti sumber air terhad dan kesukaran akses ke lokasi kebakaran terus menjadi kekangan. Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar bagi tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
-- BERNAMA