KUALA LUMPUR: Walaupun ditadbir pembangkang, Kelantan tidak pernah dipinggirkan daripada aspek peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2024 terutamanya melibatkan infrastruktur jalan, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata daripada jumlah keseluruhan RM9.511 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya, Kelantan merupakan negeri yang menerima peruntukan tertinggi.

"Sebenarnya apa yang dikatakan Jelutong (RSN Rayer) kerajaan tidak anaktirikan kawasan pembangkang adalah benar. Saya katakan demikian kerana ada Ahli Yang Berhormat ketika berbahas mengatakan Kelantan dianaktirikan dan peruntukan yang diterima sangat sedikit.

"Saya nak beritahu bahawa jika tidak termasuk Sabah dan Sarawak, Kelantan merupakan negeri yang menerima peruntukan tertinggi di Semenanjung," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu Rayer memuji Kementerian Kerja Raya dengan mengatakan tidak benar dakwaan kawasan diwakili wakil rakyat pembangkang dianaktirikan kerajaan selepas Abdul Rahman memperuntukkan banyak masa bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) ketika menggulung perbahasan.

Dewan Rakyat turut menjadi kecoh seketika apabila Abdul Rahman mendedahkan Che Mohamad merupakan satu-satunya wakil rakyat pembangkang yang kerap berada di bilik kelab penyokong kerajaan.

Keadaan itu mengundang beberapa Ahli Parlimen dari blok kerajaan termasuk Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menjerit "pindah sini dan lima kosong", merujuk kepada tindakan empat wakil rakyat PN yang berpindah tempat duduk selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Che Mohamad Zulkifly kemudiannya bangkit menyatakan semua itu adalah fitnah semata-mata.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memuji penglibatan wakil rakyat yang mengambil bahagian ketika perbahasan melibatkan kementerian itu sejak dahulu sehingga hari ini.

Penglibatan mereka dalam menyuarakan keperluan rakyat dan kawasan masing-masing menyaksikan peruntukan kepada kementerian dinaikkan sebanyak RM1.072 bilion dalam belanjawan tahun depan menjadikan jumlah yang diterima berjumlah RM9.511 bilion.

"Selain berterima kasih kepada Perdana Menteri, kenaikan ini juga adalah atas semangat daripada ucapan yang dibuat semua ahli yang berhormat, antara lain bagi mengelak ketidakcukupan kewangan untuk menyelesaikan keperluan rakyat," katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan sejumlah RM231,771,500 diperuntukkan kepada kementerian itu menerusi Belanjawan 2024.

Semasa sesi penggulungan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang antaranya menyentuh mengenai usaha membangunkan keusahawanan halal, berkata KUSKOP telah melaksanakan empat program utama untuk menggalakkan keterlibatan usahawan dalam industri itu.

Antara program utama itu, katanya, ialah Program Pembangunan Keusahawanan Halal untuk membimbing usahawan mendapatkan pensijilan halal dan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal yang bertujuan membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa melalui penyertaan di pameran dan ekspo perdagangan di luar negara.

"Seramai 985 usahawan telah menerima manfaat melalui program pembangunan keusahawan halal yang telah dilaksanakan oleh kementerian pada tahun ini, manakala untuk Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal, seramai 105 usahawan menerima manfaat dengan jumlah potensi jualan sebanyak RM346 juta," katanya.

Ewon turut berkata KUSKOP akan meneruskan kerjasama dengan semua kementerian dan agensi yang turut bertanggungjawab membangunkan industri halal pada tahun hadapan dalam usaha memperkasakan industri halal di negara ini.

Persidangan dewan disambung semula esok.

-- BERNAMA