JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa dan agensi kawal selia berdepan dengan cabaran untuk menyegerakan proses menyenaraikan bahan kimia berbahaya dijumpai dalam dadah sintetik ke dalam Jadual Akta Racun 1952 bagi memastikan tindakan perundangan dapat diambil tanpa sebarang kekangan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu amat kritikal kerana kelewatan mewartakan bahan tersebut akan memberi implikasi langsung serta menjejaskan kelancaran kertas siasatan pihak polis.
"Apabila siasatan polis mendapati satu kes bermula daripada dadah sintetik, prosesnya dihantar ke Jabatan Kimia. Bila dikenal pasti elemen racun kat situ dan tiba-tiba dalam senarai racun tak tersenarai, ia akan menyukarkan proses siasatan perundangan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa di sini hari ini.
Ia bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai "Piu Piu” di pasaran yang dikesan dicampurkan dalam cecair rokok elektronik membuktikan peranti itu wajar diharamkan.
Ayob Khan berkata ini kerana dadah mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif itu boleh memberikan kesan khayal teruk seumpama "zombi” kepada penggunanya.
Saifuddun Nasution berkata isu melibatkan klasifikasi bahan racun tersebut telahpun dibawa dan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri bagi mencari jalan penyelesaian tuntas.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini mempertingkatkan koordinasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kimia bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang terhadap sindiket dadah sintetik baharu dapat dilaksanakan secara lebih efektif.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa berdasarkan pemetaan profil data penyalahgunaan dadah negara, trend pengambilan dadah sintetik dikesan paling serius berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, khususnya bermula dari Kelantan dan Terengganu sebelum menular ke Pahang.
Menurut beliau, berbeza dengan kawasan Pantai Barat yang masih merekodkan penggunaan bahan campuran seperti ganja dan heroin, kawasan Pantai Timur kini didominasi penularan dadah sintetik yang membawa kesan jauh lebih parah dan membimbangkan.
Beliau berkata negara merekodkan statistik membimbangkan dalam isu keselamatan domestik apabila sejumlah 192,000 individu disahkan terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di seluruh negara.
Katanya, angka itu diperoleh hasil profil data bersepadu yang digabungkan daripada data KKM, pusat pemulihan swasta, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) AADK, serta rekod Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik PDRM.
Berdasarkan keseluruhan data tersebut, kadar purata nasional kini berada pada tahap 560 orang bagi setiap 100,000 penduduk dengan trend pengambilannya yang kini didominasi dadah sintetik berbahaya.
Mengulas mengenai situasi di Johor, beliau berkata negeri tersebut merekodkan purata 499 orang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk.
Meskipun purata negeri itu berada di bawah paras nasional, beliau berkata Mersing mencatatkan angka membimbangkan apabila merekodkan kadar tertinggi di Johor iaitu mencecah 1,200 orang bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Pontian, Kota Tinggi, dan Segamat.
Beliau berkata ketika ini terdapat 30 Puspen di seluruh negara di bawah kendalian AADK yang menempatkan 5,000 klien.
-- BERNAMA