Kelewatan penyiapan sistem bersepadu Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan (IGFMAS) untuk Jabatan Akauntan Negara (JAN) di bawah Kementerian Kewangan telah memberi implikasi kewangan tambahan berjumlah RM230.74 juta kepada kerajaan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun (LKAN) 2018 Siri 3, kelewatan penyiapan itu membabitkan penangguhan Go-Live IGFMAS sebanyak tiga kali iaitu antara 1 Januari 2015 hingga 1 Januari 2018.
"Kesan daripada pelanjutan tempoh masa pembangunan dan penangguhan Go-Live IGFMAS telah memberi implikasi kepada kerajaan iaitu pertambahan sebanyak RM230.74 juta berbanding kos asal RM329.94 juta," kata laporan itu.
Ia menambah perbelanjaan tambahan ini merangkumi keperluan penyenggaraan lesen dan server sistem legasi (GFMAS) berjumlah RM10.68 juta.
Laporan itu turut menyebut perolehan keseluruhan penyenggaraan lesen user dan engine IGFMAS dibuat secara bersekali berjumlah RM77.11 juta yang perlu diteruskan mengikut tarikh kontrak pada 2013 walaupun sistem belum beroperasi serta pelantikan Pejabat Pengurusan Projek (Project Management Office) berjumlah RM22.11 juta.
Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan implikasi yang terlibat.
Menurut laporan itu, penyenggaraan sistem legasi GFMAS mesti terus beroperasi bagi memastikan operasi harian kerajaan persekutuan berjalan lancar.
Jelasnya, objektif pembangunan IGFMAS adalah bagi menghasilkan penyata kewangan tunai ubah suai dan akruan serta laporan secara real time melalui sistem di peringkat kerajaan persekutuan dan kementerian.
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM773.27 juta untuk kos keseluruhan sistem IGFMAS dan perakaunan akruan.
Mengenai penyata kewangan kerajaan persekutuan (PKKP) pula, semakan Jabatan Audit turut mendapati PKKP secara tunai masih belum dapat dijana secara real time melalui modul laporan kewangan iaitu Business Warehouse (BW) sepenuhnya.
Sebaliknya, pelarasan format dibuat kepada PKKP tahun 2018 di luar sistem IGFMAS menggunakan platform sokongan lain.
"Pada pendapat Jabatan Audit, sistem IGFMAS telah dibangunkan secara bersepadu berasaskan prinsip tunai dan akruan. Bagaimanapun, keberkesanan pencapaian outcome tidak dapat diukur kerana pelaporan perakaunan belum dapat dijana secara menyeluruh," katanya.
Kutipan balik bayaran "Liquidated Ascertained Damages" (LAD) berjumlah RM9.27 juta tidak dibuat sepenuhnya, hanya sejumlah RM2.02 juta atau 21.8 peratus LAD telah dikutip daripada pembekal.
Menurut laporan itu, semakan audit terhadap Laporan Kenaan LAD mendapati sehingga 30 Jun 2019, sebanyak 28 ketidakpatuhan melibatkan kelewatan "deliverables" seperti terkandung dalam dokumen kontrak utama dengan anggaran LAD berjumlah RM9.27 juta.
Secara keseluruhannya sistem IGFMAS belum mencapai tahap kecekapan yang optimum, katanya.
Justeru, Jabatan Audit mengesyorkan JAN menyediakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas bagi mengukur pencapaian "outcome" sistem IGFMAS setelah sistem siap dan digunakan sepenuhnya.
Tambahnya, JAN juga disaran melaksanakan pengujian di peringkat pembangunan dengan lebih teliti dan secara lebih menyeluruh bagi memastikan ketepatan laporan dan penyata kewangan kerajaan persekutuan serta kecekapan sistem berintegrasi dengan sistem luar.
"Selain itu, JAN juga perlu mempertingkatkan pengurusan kontrak bagi menjamin kepentingan kerajaan serta membuat potongan LAD berdasarkan aliran tunai pembekal dan baki bayaran kemajuan bagi memastikan jumlah LAD dapat dipungut sepenuhnya oleh kerajaan," kata laporan itu.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jul 14 2020
Semakan Jabatan Audit turut mendapati PKKP secara tunai masih belum dapat dijana secara waktu sebenar. -Bernama
Lembangan sungai utama di Kelantan diramal banjir pada 16 -19 Disember - JPS
Lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula 16 hingga 19 Dis ini, menurut amaran dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran .
Meta sumbang AS$1 juta untuk majlis angkat sumpah Donald Trump
Derma ini merupakan langkah terkini oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg yang menunjukkan hasratnya untuk bekerjasama dengan Trump.
Francois Bayrou dilantik PM baharu Perancis
Presiden Emmanuel Macron lantik sekutunya dalam usaha untuk meredakan krisis politik yang semakin melemahkan pengaruhnya.
KL City nafi bekalan selesa JDT
JDT akan meneruskan saingan aksi kedua suku akhir dengan bertemu KL City pada 21 Dis ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Skuasy Berpasukan Dunia 2024: Malaysia raih gangsa
Skuad wanita kebangsaan membawa pulang pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia 2024 di Hong Kong, malam tadi.
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus pada November 2024 - MAA
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus tahun ke tahun kepada 67,523 unit pada November 2024, susut daripada 73,262 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih WiFi di UM, USIM, UniMAP - Fahmi
MCMC peruntuk RM13.7 juta bagi tingkatkan akses internet di tiga universiti awam Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
IPT di negara ini sedia kuasa AI sepenuhnya
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan
Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Kelewatan penyiapan IGFMAS Jabatan Akauntan Negara beri implikasi kewangan tambahan RM230.74 juta
Kelewatan penyiapan IGFMAS untuk Jabatan Akauntan Negara (JAN) di bawah Kementerian Kewangan telah memberi implikasi kewangan tambahan berjumlah RM230.74 juta kepada kerajaan.