TUMPAT: Langkah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memberi kelonggaran kepada pelajar untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa memberi kelegaan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

Salmah Md Nooh, 53, berkata keputusan itu membolehkan dirinya mengambil sedikit masa untuk membuat persiapan kerana beliau dan ahli keluarganya baru sahaja pulang ke rumah selepas tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan rumah dinaiki air banjir.

Katanya pakaian sekolah anaknya yang belajar di tahun satu SK Pengkalan Kubor 1 juga rosak akibat bencana alam itu.

"Rasa seronok sebab kelonggaran ini diberikan, murid tidak perlu memakai uniform sekolah buat sementara waktu.

"Saya pun tak perlu tergopoh-gapah mencari uniform sekolah di rumah yang masih dalam proses pembersihan," katanya ketika ditemui Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1, di sini hari ini.

Tinjauan di sekitar jajahan Tumpat mendapati rata-rata pelajar sekolah hadir untuk meneruskan penggal ketiga Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dengan berpakaian sukan.

Bagi Haznida Husin, 37, yang merupakan ibu kepada pelajar tahun dua, kelonggaran itu juga boleh menggelakkan pelajar yang terjejas banjir daripada berasa malu untuk hadir ke sekolah dengan pakaian yang kotor akibat ditenggelami air.

"Memang ada baju rosak sebab banjir, jadi bila pakai baju sukan anak-anak tidak perlu datang ke sekolah dengan baju yang kotor, tidaklah mereka malu untuk ke sekolah dan berjumpa dengan kawan-kawan.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat Rozeman Din berkata langkah dilaksanakan JPN Kelantan itu juga mampu memingkatkan kadar kehadiran pelajar.

"Memang tepat langkah ini kerana ia menjamin keselesaan murid untuk datang ke sekolah ia terbukti meningkatkan peratus kehadiran murid.

"Kebanyakan pelajar di sekolah ini terdiri daripada masyarakat B40. Jadi membenarkan mereka untuk pakai t-shirt sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan mereka dan keluarga setelah dilanda banjir" katanya.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan membenarkan pelajar sekolah yang terjejas banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa, dan kelonggaran itu berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

-- BERNAMA