KUALA LUMPUR: Kelonggaran yang diberikan kepada individu yang lengkap divaksinasi diharap dapat menggalakkan lebih ramai individu 'tegar'' yang masih enggan menerima vaksin tampil ke hadapan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihak kementerian sentiasa bersedia memberikan maklumat terperinci kepada sesiapa sahaja mengenai keberkesanan dan kesihatan vaksin.

"Untuk mereka yang masih lagi tegar untuk tidak menerima vaksin, kita juga telah umumkan bahawa beberapa kebebasan hanya akan diberikan kepada yang telah menerima vaksin lengkap.

"Jadi, dengan pendekatan ini saya harap yang masih ramai lagi tegar untuk tidak menerima vaksin akan tampil untuk mendapatkan maklumat yang terperinci.

"Kita sentiasa bersedia untuk memberikan maklumat kepada sesiapa pun berkenaan dengan keberkesanan dengan keberkesanan dan kesihatan vaksin," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Khairy (BN-Rembau) berkata demikian menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud).



Tiada kematian akibat vaksin sejak PICK dilaksanakan

Jelas Khairy lagi, maklumat berkenaan kesan sampingan terhadap vaksin akan turut dimuat naik di laman sesawang Kementerian Kesihatan mulai hari ini bagi membolehkan orang ramai mendapatman maklumat terperinci.

Dalam masa yang sama, Khairy sekali lagi menegaskan setakat ini tiada mana-mana kematian direkodkan di negara ini akibat pengambilan vaksin.