Polis Pulau Pinang mengesahkan telah menahan seorang peguam bela selepas dia didakwa melakukan ugutan terhadap seorang pegawai Timbalan Pendakwaraya (DPP) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Khamis lepas.

Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, lelaki itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat pengadu berusia 40 tahun.

"Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan kes ini kita siasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Thaiveegan memaklumkan kertas siasatan juga akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.

Pada 31Mei lepas, seorang pegawai pendakwaraya membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan daripada seorang peguam selepas selesai mendengar keputusan berkaitan satu kes dadah.

Peguam terbabit yang terlibat dalam kes pembelaan kes berkenaan didakwa telah mengeluarkan perkataan 'keluar nanti tembak dia' sambil menunjukkan isyarat tangan menembak mengacu ke arah pengadu sewaktu berbual dengan anak guamnya pada hari berkenaan.

Berikutan itu, pengadu yang bertindak sebagai pihak pendakwaan bagi kes tersebut telah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya terancam.