Keluarga reda terima berita kematian Nadia Kesuma

MUHAMMAD KAMARUL: Saya bersama anak perempuan akan ke Jeddah hari ini dan kami semua reda dengan apa yang berlaku. --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Keluarga pelakon Nadia Kesuma reda dengan pemergiannya selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung, susulan laporan kehilangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lepas.
Ringkasan AI
- Keluarga pelakon Nadia Kesuma reda dengan pemergiannya akibat sakit jantung selepas disahkan meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
- Suami Allahyarham, Prof Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, dimaklumkan tentang kematian isterinya oleh Wisma Putra dan akan ke Jeddah bersama anak perempuannya untuk menguruskan jenazah.
- Nadia Kesuma, yang menyertai pakej Umrah-London-Paris, dilaporkan gagal dikesan setelah tiba di Jeddah, menyebabkan keluarga dan rakan baiknya terkesan dengan pemergiannya.
"Saya bersama anak perempuan akan ke Jeddah hari ini dan kami semua reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini hari ini.
Muhammad Kamarul yang kelihatan tenang dilihat beberapa kali memeluk ahli keluarganya yang menghantarnya dan anak perempuanya di LTAPP yang menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah.
Muhammad Kamarul yang mempunyai tiga anak berusia 11 hingga 15 tahun bersama Nadia yang nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, berkata jenazah isterinya akan dikebumikan di Jeddah.
"Allahyarham isteri memang selalu bercerita dan cakap mahu ke Mekah, jadi kita tunaikan permintaanya," katanya.
Terdahulu Bernama melaporkan berita kematian Nadia Kesuma itu disahkan suaminya melalui hantaran di Facebook pagi tadi, yang memaklumkan isterinya meninggal dunia pada 8.07 pagi Khamis lepas, hari pelakon itu dilaporkan gagal dikesan.
Nadia Kesuma menyertai pakej Umrah-London-Paris sebuah agensi pelancongan bersama-sama 21 jemaah lain.
Pelakon itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.48 pagi, Selasa lepas.
Sebelum ini, Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah yang juga rakan baik Nadia Kesuma memaklumkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Jeddah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


