Sebuah kem Tentera Darat akan dibina bermula tahun depan di Hutan Melintang, Bagan Datoh Perak dan kem terbabit berpotensi untuk menempatkan lebih 1,000 anggota tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kem tentera itu akan menempatkan Batalion Infantri Standard dan Rejimen Artileri Diraja Bantuan Rapat yang melibatkan anggota 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Artileri Diraja.

Katanya, pembinaan kem terbabit dilaksanakan berikutan lokasinya yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

“Penempatan kem 23 RAMD Ipoh terpaksa dipindahkan ke kem Hutan Melintang kerana kem berkenaan yang padat serta tidak boleh diperluas infrastrukturnya kerana terletak di bandar,” katanya pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong kali ke 13 di sini, hari ini.

Jelas Hishammuddin, tanah berkeluasan 350 ekar telah dikenal pasti bagi pembangunan tersebut.

Selain dilengkapi dengan kem Batalion Infantri Standard, Kem 4 Rejimen Artileri Diraja, kem terbabit nanti akan turut menyediakan fasiliti guna sama, rumah keluarga angkatan tentera serta kemudahan lain.