GADGETS
Kemahiran digital rakyat Malaysia meningkat lebih 90% – DOSM

Penggunaan telefon pintar dalam kalangan rakyat Malaysia juga didapati meningkat kepada 97.9%, manakala akses internet melalui jalur lebar mudah alih mencapai 95.7%. - Gambar hiasan
LAPORAN terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa Malaysia semakin menghampiri sasaran masyarakat digital sepenuhnya, dengan lebih 90% rakyat kini memiliki kemahiran asas dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Golongan belia memainkan peranan penting dalam penguasaan tersebut dengan kadar penguasaan melebihi 95%. Ini menunjukkan kesediaan generasi muda untuk menerima perubahan dan memanfaatkannya sebagai peluang untuk mengembangkan potensi serta menghadapi cabaran masa depan.
Dalam laporan yang sama, penggunaan telefon pintar dalam kalangan rakyat Malaysia juga didapati meningkat kepada 97.9%, manakala akses internet melalui jalur lebar mudah alih mencapai 95.7%. Ini menggambarkan kebergantungan yang semakin tinggi terhadap teknologi mudah alih dalam kehidupan seharian, terutama bagi aktiviti harian seperti penggunaan media sosial dan pembelian dalam talian.
Selain itu, jurang penggunaan internet antara lelaki dan wanita semakin mengecil, dengan kadar penggunaan internet lelaki pada 98.4% dan wanita pada 97.6%. Perkembangan ini menunjukkan peningkatan kesaksamaan digital dalam kalangan rakyat Malaysia.Laporan ini turut menekankan peningkatan kecekapan rakyat Malaysia dalam penggunaan komputer, terutama dalam aktiviti asas seperti penghantaran e-mel, pemindahan fail, dan pemasangan perisian secara kendiri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kemahiran digital kini bukan lagi keistimewaan, tetapi telah menjadi keperluan asas dalam kehidupan moden.
Sejajar dengan trend global, penggunaan telefon talian tetap terus mencatatkan penurunan yang dengan jelas menggambarkan peralihan kepada teknologi mudah alih.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami