NATIONAL
Kemajuan projek ECRL capai 81.07 peratus setakat Mac

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama dengan Datuk Seri Darwis Abdul Razak menunjukkan replika tiket ECRL ketika hadir bagi lawatan ke laluan ECRL Pasir Puteh - Bharu di Stesen Pasir Puteh hari ini. - Foto Bernama
PASIR PUTEH: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini berada di landasan tepat untuk disiapkan sepenuhnya menjelang Dis 2026 dengan keseluruhan jajaran dari Kota Bharu ke Gombak, Selangor mencatatkan kemajuan kerja sebanyak 81.07 peratus setakat bulan lepas.
Ringkasan AI
- Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 dengan kemajuan kerja keseluruhan sebanyak 81.07%.
- Kemajuan kerja di Terengganu dan Pahang masing-masing mencatatkan 90% dan 86%, manakala di Kelantan mencapai 88.86%.
- Pembinaan stesen di Kelantan menunjukkan perkembangan positif, dengan dua stesen dijangka siap pada Mei tahun depan.
"Laluan jajaran di Kelantan sejauh 43 kilometer (km) telah mencapai 88.86 peratus kemajuan kerja, menyumbang secara signifikan kepada kemajuan keseluruhan projek. Proses ujian dan pentauliahan dijangka bermula pada Jun 2026.
"Kerja-kerja pemasangan landasan juga menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan ketara dicapai di Kelantan, Terengganu serta sebahagian negeri Pahang melibatkan jajaran sejauh 400 km dari Tunjong, Kota Bharu ke Maran di Pahang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau landasan ECRL dengan menaiki kenderaan penyelenggaraan ECRL di tapak Stesen ECRL Pasir Puteh, di sini hari ini.
Darwis berkata pembinaan dua stesen ECRL di Kelantan iaitu di Tunjong serta Pasir Puteh turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan dengan masing-masing mencapai 69 dan 68 peratus kemajuan kerja yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.
"Kebanyakan isu yang dibangkitkan penduduk sebelum ini, termasuk banjir kilat di Pasir Puteh, telah ditangani melalui sesi libat urus yang diadakan bersama Pejabat Tanah dan Daerah, PBT serta kerajaan negeri sejak tahun lepas.
"Kami tidak akan lepas tangan sekiranya terdapat sebarang isu yang timbul. Kami komited untuk menyelesaikan setiap perkara demi memastikan projek ini memberi manfaat kepada rakyat dan dapat disiapkan mengikut jadual," katanya.
Projek ECRL sejauh 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak diyakini akan disiapkan mengikut jadual pada Dis 2026 dan beroperasi bermula Jan 2027.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami