MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Dakwaan jalan raya rosak tidak benar - Ahmad Maslan

Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berdekatan Tasik Banding, Gerik. - Foto Bernama
TUARAN: Dakwaan kononnya jalan raya di lokasi kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam, rosak dan berlubang adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ringkasan AI
- Timbalan Menteri Kerja Raya menafikan dakwaan bahawa jalan di lokasi nahas bas UPSI berlubang atau rosak, menyatakan bahawa jalan itu dalam keadaan baik dan kali terakhir diselenggara pada 6 Jun.
- Pemantauan mendapati terdapat papan tanda memberi amaran mengenai selekoh berbahaya, dan beliau menegaskan siasatan menyeluruh perlu dilakukan sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kemalangan.
- Kajian MIROS menunjukkan 80% kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu, sementara 13% akibat keadaan jalan dan 7% disebabkan masalah kenderaan.
"Tidak wajar tularkan berita yang tidak benar dalam media sosial yang membangkitkan rasa tidak puas hati khususnya pada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melaksanakan (kerja) membaiki jalan dan jalan itu ialah Jalan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas melawat projek cerun di Sekolah Kebangsaan Tanghilan di sini hari ini.
Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berdekatan Tasik Banding, Gerik.
Bas yang disewa khas oleh pelajar terbabit berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan itu.
Ahmad berkata pemantauan terhadap jalan di lokasi kejadian juga mendapati terdapat papan tanda yang menyatakan 'selekoh di hadapan adalah kawasan kemalangan'.
"Namun apa pun terjadi kita serahkan kepada pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan berkenaan. Kita tidak mahu tuduh menuduh terutamanya tentang teknikal," katanya.
Beliau berkata mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak 80 peratus daripada kemalangan yang berlaku di negara ini disebabkan oleh kecuaian pemandu.
"Sebanyak 13 peratus lagi berpunca daripada keadaan jalan, manakala tujuh peratus disebabkan masalah kenderaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami