MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Laporan awal dimuat naik dalam laman sesawang MOT

Menurut MOT, langkah itu mencerminkan komitmen kementerian terhadap akauntabiliti dan usaha penambahbaikan berterusan dalam sistem keselamatan jalan raya. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Laporan awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan maut yang melibatkan sebuah bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas, akan dimuat naik ke laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT).
Ringkasan AI
- Laporan Jemaah Menteri: Laporan dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi dan bersetuju supaya laporan awal itu didedahkan untuk pengetahuan umum.
- Kelemahan sistemik dikenal pasti: Laporan mendedahkan kelemahan dalam pemilihan pemandu, pengurusan keselamatan, reka bentuk jalan, dan penguatkuasaan industri sebagai faktor penyumbang kepada tragedi.
- Laporan didedahkan secara terbuka: Kementerian Pengangkutan memuat naik laporan awal ke laman sesawang rasmi sebagai langkah ketelusan dan asas kepada penambahbaikan sistem keselamatan jalan raya.
MOT memaklumkan laporan itu disediakan secara bebas dan objektif oleh Pasukan Petugas Khas yang diketuai Ketua Inspektor Kemalangan Udara MOT dengan penglibatan pakar teknikal serta wakil pelbagai agensi berkaitan.
"Fokus siasatan adalah terhadap aspek keselamatan dan tidak menjejaskan sebarang siasatan jenayah yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.
Menurut MOT, langkah itu mencerminkan komitmen kementerian terhadap akauntabiliti dan usaha penambahbaikan berterusan dalam sistem keselamatan jalan raya.
"MOT berharap laporan ini dapat menjadi asas kepada perbincangan awam yang sihat serta tindakan kolektif ke arah sistem pengangkutan yang lebih selamat dan berdaya tahan," menurut kenyataan itu.
Pada 9 Jun lepas, negara dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Nahas yang turut melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik itu meragut 15 nyawa penuntut universiti berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami