MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Tiada bukti sistem mekanikal gagal, mungkin disebabkan manusia, jalan - Laporan awal

Loke berkata kejadian itu berkemungkinan besar berpunca daripada faktor lain seperti faktor manusia dan keadaan jalan raya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Laporan awal nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak mendapati tiada sebarang bukti yang merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal pada kenderaan itu yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan.
Ringkasan AI
- Tiada bukti kegagalan mekanikal: Laporan awal Puspakom mendapati sistem brek, tayar, steering, dan suspensi bas dalam keadaan baik, menunjukkan kemalangan berkemungkinan besar berpunca daripada faktor manusia atau keadaan jalan raya.
- Keselamatan jalan raya menjadi keutamaan: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan kementeriannya akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, serta pemantauan syarikat pengangkutan.
- Kemalangan mengorbankan 15 pelajar UPSI: Nahas berlaku sekitar jam 1 pagi pada 9 Jun di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, apabila bas yang membawa 42 pelajar UPSI hilang kawalan dan melanggar sebuah MPV yang dinaiki empat sekeluarga.
Menurut Loke, laporan awal teknikal yang dikeluarkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) itu mendapati komponen utama kenderaan seperti sistem brek, brake lining dan brake drum bagi semua gandar berada dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Malah, siasatan juga tidak menemukan sebarang ketidakseragaman pada brake drum mahupun kenipisan pada brake lining, manakala pemeriksaan fizikal ke atas bunga tayar menunjukkan ia berada dalam keadaan baik.
"Selain itu, komponen bahagian steering dan suspensi secara menyeluruh juga berada dalam keadaan memuaskan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Loke turut menegaskan keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kementeriannya dan langkah-langkah penambahbaikan akan dipertimbangkan berdasarkan penemuan akhir siasatan.
"Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu serta pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketatkan," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi pada 9 Jun lalu berhampiran Tasik Banding, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dilaporkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan ngeri itu meragut nyawa 15 pelajar UPSI, terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan, manakala pemandu serta penumpang MPV mengalami kecederaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami