IPOH: Kemalangan maut yang membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), hala utara, di sini, pagi tadi adalah disebabkan pemandu treler yang membawa muatan gula hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, kemalangan itu telah mengorbankan dua pemandu treler di lokasi kejadian, manakala seorang cedera.



Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan tiga treler, dua kenderaan pelbagai guna (MPV), dan dua kereta sedan itu pada jam 8.05 pagi.



"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu treler jenis Hino muatan gula yang dipandu seorang lelaki warga tempatan telah hilang kawalan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Ia kemudian bertembung dengan sebuah treler jenis Volvo muatan gelung besi. Dalam kejadian itu, lima kenderaan lain turut terlibat kemalangan di laluan yang sama.

"Kedua-dua pemandu treler tersebut juga didapati tidak membawa kelindan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.



Dalam pada itu, Yahaya berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke hospital berhampiran.

Katanya, semakan rekod saman terhadap treler muatan gula itu mendapati terdapat dua rekod lampau saman trafik PDRM.



Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Inspektor Mohd Syafiq Fauze.



"Pihak polis menyeru kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Ipoh, DSP Koo Boon Kuat di talian 016-4173222 untuk membantu siasatan," katanya lagi.