KUALA LUMPUR: Kemasukan pelajar pasca siswazah bagi Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) ke universiti awam pada 2021 menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar pasca siswazah Sarjana mencatatkan kenaikan sebanyak 16.9 peratus pada 2021.

Manakala, bagi Doktor Falsafah pula, kenaikan sebanyak 44 peratus direkodkan dalam tempoh yang sama.

"Berdasarkan sistem MyMoheS, jumlah pelajar yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam ialah melebihi 589,000, di mana 66 peratus ialah pelajar bukan warganegara.

"Dari segi pengambilan peringkat pengajian pula, pelajar pasca siswazah di universiti awam bagi warganegara ialah 72,173 orang, manakala bukan warganegara ialah 27,309 orang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut).

Memperincikan lebih lanjut, Noraini berkata, pada 2019 berlaku peningkatan sebanyak 6.3 peratus kemasukan pelajar pasca siswazah PhD berbanding kemasukan pada 2018 (6,855 orang).

Manakala, bagi 2020 pula, sebanyak 7.5 peratus peningkatan direkodkan berbanding pada 2019.

"Bagi kemasukan pelajar ke universiti peringkat pasca siswazah Sarjana, pada 2018 adalah 20,081 pelajar. Bagi 2019, 20,108 pelajar.

"Bagaimanapun, terdapat penurunan pada 2020 iaitu sebanyak 9.7 peratus berbanding 2019, iaitu 18,162 pelajar .

"Namun, pada 2021 terdapat peningkatan sebanyak 16.9 peratus iaitu 21,235 berbanding pada 2020," ujarnya lagi.