KUALA LUMPUR: Ketibaan pelancong asing ke Malaysia tahun lalu mencatatkan sejumlah 4.3 juta pelancong, iaitu jatuh 83.4 peratus berbanding 26.1 juta pada 2019.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kejatuhan itu disebabkan oleh penutupan pintu masuk negara susulan penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, situasi penyusutan pertumbuhan sektor pelancongan itu tidak hanya kepada Malaysia sahaja, sebaliknya turut dialami negara lain, khususnya di Asia.

"Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), Asia dan Pasifik merekodkan penyusutan ketibaan pelancong sebanyak 84 peratus.

"Negara jiran Malaysia di rantau ASEAN turut merekodkan penurunan jumlah pelancong yang ketara, termasuk Thailand (-83.2 peratus), Singapura (-85.7 peratus), Vietnam (-78.7 peratus) dan Indonesia (-75 peratus), berdasarkan data Persatuan Pelancongan Pasifik Asia (PATA) dan Pertubuhan Pelancongan Nasional (NTO)," memetik kenyataan itu.

Tourism Malaysia turut memaklumkan kadar pendapatan negara daripada sektor pelancongan juga telah merudum 85.3 peratus apabila hanya meraih RM12.69 bilion tahun lalu berbanding RM86.14 bilion pada 2019.

Malah, purata perbelanjaan per kapita untuk sektor pelancongan yang direkodkan Malaysia tahun lalu adalah RM2,928, iaitu penurunan 11.3 peratus berbanding RM3,300 pada 2019.