KUALA LUMPUR: Kematangan serta kesedaran mengimbangi hak politik dengan tanggungjawab membina negara penting bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan Hari Kebangsaan hari ini, beliau berkata landskap politik baharu negara pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diterima dengan kesedaran bahawa kestabilan kerajaan penting dalam memandu hala tuju pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata kematangan politik yang ditunjukkan pimpinan dalam Jemaah Menteri terbina atas kesedaran dan kebersamaan untuk membentuk konsensus perpaduan, sekali gus memastikan negara mempunyai sebuah kerajaan yang mampu memandu hala tuju pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
"Saya kagum kerana sekalipun di luar para penggerak parti saling 'berbalas pantun bertikam lidah' sejak beberapa bulan lepas, hubungan dan interaksi para pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional," katanya.
Beliau berkata landskap politik baharu negara selepas berakhirnya dominasi satu parti perlu diterima dengan mengambil iktibar daripada pengalaman antara 2018 dan 2022 yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal.
"Peristiwa 2018-2022 dengan pertukaran tiga perdana menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal bukanlah formula yang baik untuk membina kemakmuran mampan untuk Malaysia," katanya.
Armizan berkata kematangan politik dan kepimpinan dalam Jemaah Menteri perlu berteraskan kesedaran bahawa hak politik individu dan parti harus diseimbangkan dengan tanggungjawab untuk membina negara.
"Inilah nilai dan makna sebuah kematangan politik yang penting untuk memandu kestabilan dalam dinamika landskap demokrasi dan politik Malaysia hari ini dan masa mendatang," katanya.
Dalam hantaran sama, beliau berkata Sambutan Bulan Kebangsaan merupakan wahana bagi rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan, sekali gus menterjemahkannya kepada tekad membina masa depan negara secara bersama.
"Setiap warganegara, termasuk pimpinan, penjawat awam, komuniti peniaga, penggerak masyarakat sivil dan rakyat keseluruhannya mempunyai peranan masing-masing dalam sistem kenegaraan, persamaan atau perbezaan, tanah air ini adalah milik bersama setiap warganegara,” katanya.
-- BERNAMA