GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah jawatankuasa inkuiri khas berhubung insiden kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) .

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, penubuhan inkuiri berkaitan adalah penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut seterusnya mengelakkan kejadian sedih serupa berulang terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih di negara ini.

“Pada dasarnya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menjelaskan kejadian yang berlaku.

“Pada masa sama kementerian juga perlu mengkaji serta merombak semula sistem pengurusan sedia ada sekiranya perlu terutamanya membabitkan tempoh masa penugasan doktor-doktor di institusi-institusi perubatan kini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA: Doktor junior menderita dengan waktu kerja tidak berperikemanusiaan - Norlela Ariffin
 
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, KKM tidak wajar berdiam diri dan membiarkan perkara ini berterusan.

Katanya, strategi serta jalan penyelesaian yang wajar adalah perlu disegerakan demi jaminan sistem perubatan negara secara menyeluruh.

Media sebelum ini, melaporkan seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di HPP maut selepas terjatuh dari bangunan kediamannya di Jalan Datuk Keramat pada 17 April lepas.

JKNPP mengesahkan bahawa mangsa seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke negeri Pulau Pinang dan ditempatkan di HPP pada 4 April yang lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.