Hyon Kwang Song, yang dikenal pasti polis sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia, dan sedang dicari untuk membantu siasatan berhubung kematian Kim Jong Nam, tidak tersenarai sebagai staf kedutaan itu.

Semakan Bernama terhadap senarai Perwakilan Diplomatik dan Konsul Malaysia yang terdapat dalam laman sesawang Kementerian Luar menunjukkan individu yang menyandang jawatan setiausaha kedua di kedutaan itu bernama Yu Yong Nam.

Senarai yang kali terakhir dikemas kini pada Disember lepas itu mengandungi nama mereka yang bertugas di Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi di Malaysia.

Tidak jelas bilakah Kwang Song mula berkhidmat di kedutaan itu. Bagaimanapun, Duta Besarnya disenaraikan sebagai Kang Chol, iaitu Duta Besar sekarang. Kesemuanya terdapat 14 nama termasuk nama duta besar itu dalam senarai berkenaan.

BACA: Tiada kerjasama langsung dari pihak kedutaan Korea Utara - KPN

BACA: Takut dibunuh punca Duta Korea Utara terlebih lantang?

INFOGRAFIK: Infografik: Siapa Kim Jong-Nam?

Bagaimanapun ketika dihubungi, jurucakap Kementerian Luar memberitahu Bernama bahawa maklumat yang terkandung dalam senarai itu diberi Kedutaan Korea Utara dan bukan daripada kementerian itu.

Panggilan telefon ke kedutaan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara tersebut tidak dijawab.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar hari ini berkata seorang daripada dua suspek yang dikehendaki berhubung siasatan kematian abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un itu Isnin lepas, dikenal pasti sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Selain Hyon Kwang Song, 44, seorang lagi suspek yang sedang dicari polis ialah pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Koryo Air, dikenal pasti sebagai Kim Uk Il, 37.


Pada 13 Feb, Jong Nnam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) sekitar 8 pagi untuk menunggu penerbangan ke Macau apabila seorang wanita datang dari arah belakang dan menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi racun.

Jong Nam, yang tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb, mendapatkan bantuan di kaunter perkhidmatan dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan. -- Bernama