MALAYSIA
Kematian pelatih Palapes: 22 saksi sudah dirakam keterangan

Ketua Polis Johor CP Ab Rahaman Arsad ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Seramai 22 saksi telah diambil keterangan berhubung kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, pada 28 Julai lalu.
Ringkasan AI
- Polis Johor telah mengambil keterangan daripada 22 saksi berhubung kematian pelatih kadet Palapes UTM, Syamsul Haris Shamsudin, dan masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada Hospital Kota Tinggi.
- Siasatan dijalankan secara teliti dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan sebelum dirujuk kepada Bukit Aman dan Jabatan Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
- Ibu Allahyarham menggesa bedah siasat kedua dijalankan bagi memastikan siasatan telus, walaupun siasatan awal ATM mendapati tiada unsur penderaan semasa latihan.
“Seramai 22 saksi telah dirakam keterangan oleh polis, termasuk doktor rawatan awal, doktor yang melakukan bedah siasat, rakan sepelatih, jurulatih latihan serta ahli keluarga mangsa.
“Polis masih menunggu laporan bedah siasat Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi mengesahkan sebab kematian mangsa.
“Laporan bedah siasat mengambil masa susulan beberapa sampel masih lagi dianalisis oleh Jabatan Kimia.
“Bagaimanapun, polis akan merujuk kepada Jabatan Pendakwaan Negeri Johor bagi mendapatkan nasihat berhubung keperluan tertentu untuk meneruskan serta melengkapkan siasatan kes,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Rabu.
Sementara itu, Ab Rahaman berkata, Bukit Aman meminta kes itu disiasat dengan teliti dan disegerakan susulan mendapat perhatian meluas.
“Sehubungan itu, Polis Johor menjangkakan siasatan kes ini akan selesai dalam tempoh sebulan, sebelum kita merujuk kertas siasatan ke Bukit Aman dan Jabatan Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Mangsa, Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Pada Isnin, ibu Allahyarham Syamsul Haris dilaporkan menggesa agar bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia supaya kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilaporkan berkata, permohonan berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.
Pada 1 Ogos lalu, PDRM dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian seorang pelatih Palapes UTM Skudai ketika menjalani latihan di Pulada pada 28 Julai lalu. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami