MALAYSIA
Kematian Zara Qairina: Siasat segera, adil dan telus - Saifuddin Abdullah

Saifuddin turut membangkitkan beberapa persoalan berhubung kematian Allahyarham Zara, yang didakwa jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berharap agar kes kematian Zara Qairina Mahathir diberikan penyelesaian undang-undang yang segera, adil dan telus.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia bagi memberikan keadilan buat keluarga mangsa dan menjernihkan keadaan susulan banyak khabar angin berhubung kes tersebut.
Membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan 2025, beliau turut membangkitkan beberapa persoalan berhubung kematian Allahyarham Zara, yang didakwa jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
"Adakah terdapat saksi yang melihat atau mengetahui kejadian itu secara langsung atau tidak langsung? Jika ya, adakah saksi-saksi tersebut telah memberikan keterangan tanpa sebarang tekanan, pengaruh, atau ugutan daripada mana-mana pihak?"Adakah benar dakwaan bahawa terdapat saksi kejadian yang telah ditukarkan ke sekolah lain? Ini persoalan yang sedang berlegar di media sosial dan menjadi perbualan rakyat, maka, harus dijawab segera oleh pihak yang bertanggungjawab.
"Benarkah wujud cubaan oleh pihak tertentu untuk memujuk atau mendesak keluarga Allahyarham agar tidak membuat laporan polis berhubung insiden ini?," soalnya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Saifuddin yang juga Ketua Portfolio Pendidikan PN turut membangkitkan persoalan mengenai dakwaan bahawa pengetua sekolah berkenaan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan orang kenamaan.
"Adakah perkara ini benar, dan jika ya, sejauh manakah ia memberi kesan terhadap proses siasatan dan ketelusan pengurusan kes ini?," soal beliau lagi.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Kematian Zara Qairina mendapat perhatian susulan wujud dakwaan kejadian itu dikaitkan dengan salah laku buli.
Sementara pada Selasa, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Datin Rosnih Nasir menafikan sebarang pembabitannya dalam insiden kematian Allahyarham.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan kajian menyeluruh terhadap peranan dan sistem sekolah berasrama.
Hal ini katanya, sebahagian daripadanya ditubuhkan berdekad lalu dan mungkin tidak lagi selari dengan keperluan semasa.
"Terdapat beberapa sekolah berasrama penuh premier yang telah melahirkan ramai alumni berjaya.
"Bagi menggalakkan alumni menyumbang semula kepada tabung pembangunan sekolah masing-masing, satu insentif cukai khas wajar diperkenalkan.
"Dengan adanya insentif ini, alumni dapat memainkan peranan dalam membantu alma maternya menjadi lebih berdikari dari segi kewangan tanpa menjejaskan kelajuan dan kemajuan sedia ada," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami