APABILA Presiden China, Xi Jinping melawat Malaysia, Politburo Parti Komunis China dipercayai telah menyediakan dana berjumlah US$500 bilion (RM1.5 trilion) untuk dilaburkan di Asean bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

Malaysia adalah sasaran utama pelaburan diikuti dengan Indonesia, Thailand dan Singapura.
Zaman kegemilangan Nusantara pada abad ke-12 dijangka mengalami pembaharuan atau renaissance.

Komitmen China kepada rantau ini jelas dengan penyertaan syarikat China dalam projek kabel bawah tanah Pulau Pinang berjumlah RM6.3 bilion dan penubuhan pejabat konsul China di Penang.

Kawasan geografi Nusantara Melayu pada era kegemilangannya menganjur dari Aceh ke selatan Filipina. Tetapi persoalannya dewasa ini adakah orang Melayu yang menjadi etnik terbesar di Asia Tenggara mampu menggarap peluang yang dibawa oleh Renaissance ini.

Rata-rata orang Melayu terpinggir dan status orang Melayu paling nyata di Malaysia. Di Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura, mereka sekadar menjadi warga kelas kedua yang berada dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Apa yang orang Melayu patut buat untuk tidak ketinggalan daripada arus pembangunan dan perubahan yang sedang dan akan melanda Asia Tenggara?

Perubahan minda dan muhasabah diri merupakan elemen yang penting untuk mempastikan orang Melayu tidak tinggal di takuk lama. Orang Melayu yang majoritinya Islam nampak ketara tidak dapat bergerak sederap dengan kaum-kaum lain dalam menyahut cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi.

Senjata yang paling kuat dan mustajab yang ada pada orang Melayu adalah agama. Di Perancis, soal agama adalah hal peribadi seseorang individu tetapi orang Asia mungkin tidak bersedia menerima perubahan yang radikal ini.

Sumber jurisprudens Islam, Al-Quran dan Sunnah mesti diberi pendekatan kontemporari tetapi apa yang yang akan menyuluh jalan yang tidak menentu di depan adalah ijtihad.

Ijtihad atau pena'akulan ulama perlu dilakukan oleh ulama berpaksikan agama dan bukannya ahli politik yang mempunyai kepentingan kerjaya politiknya.

Di Malaysia, campur tangan oleh bidang kehakiman telah mengeruhkan hubungan antara rakyat yang majmuk agamanya manakala bidang eksekutif pula tidak memberi kepimpinan kepada orang Islam dalam hal-hal agama yang sensitif.

Natijahnya, orang Melayu masih kabur tentang pelbagai aspek dan ini meletakkan mereka dalam keadaan tertekan untuk mendapat manfaat daripada zaman Pembaharuan Melayu.