JOHOR BAHRU: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 buat julung kalinya dipimpin Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bermula hari ini.

Menurut hantaran Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, jelajah itu kembali diadakan selepas tiga tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik COVID-19 sejak 2019.

Berangkat bersama dalam konvoi Diraja, Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Ibrahim.

Turut berangkat sama Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Turut berangkat menyaksikan majlis pelepasan KMJ 2023 di Istana Pasir Pelangi, hari ini ialah Tunku Tun Aminah Ibrahim.

Acara pelepasan konvoi Diraja Johor berlangsung di Istana Pasir Pelangi, di sini dengan disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

KMJ merupakan ilham Sultan Ibrahim pada tahun 2001 sewaktu baginda ialah Tunku Mahkota Johor, bagi menyelami denyut nadi rakyat jelata.

Sejak itu, KMJ telah menjadi salah satu acara utama tahunan negeri Johor dan telah merapatkan perhubungan Istana Johor di hati rakyat.

Bagi Jelajah KMJ Edisi Ke-23 ini, merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer.