Debaran pemilihan pimpinan PAS pusat berakhir dengan Mohamad Sabu mengekalkan jawatan timbalan presiden manakala Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kembali menduduki kerusi naib presiden dan kesannya, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar terpaksa berputih mata kehilangan jawatan yang disandangnya sejak 2009.

Kemenangan Tuan Ibrahim menepati apa yang dijangkakan sebelum ini, manakala kedudukan Mahfuz sejak dari awal sudah diagak sama ada beliau akan tercicir atau dipilih perwakilan. Keputusan sudah diumumkan, Mahfuz akur dengan pilihan perwakilan, malah beliau boleh berbangga kerana hanya 16 undi membezakan beliau dengan pemenang tempat ketiga jawatan tersebut, Datuk Husam Musa.

Pemilihan PAS kali ini memang mendebarkan. Kempen untuk menaikkan calon-calon tertentu sudah lama dijalankan. Pertembungan kumpulan ulama dan profesional begitu jelas. Boleh dikatakan, pemilihan kali ini menyaksikan kempen paling buruk diadakan dan amat memalukan kepada sebuah parti yang mendakwa meperjuangkan Islam. Paling dikesalkan kempen fitnah itu dikesan datang dari kumpulan pro-ulama.

Mohamad Sabu antara tokoh paling teruk menjadi mangsa kempen dari kumpulan yang mahu menyekat kemaraannya. Usaha untuk menyekat tokoh yang dikenali sebagai Mat Sabu ini bukan hanya dijalankan dengan cakap-cakap dikalangan ahli PAS tetapi turut membabitkan media arus perdana.

Beberapa hari sebelum bermulanya muktamar PAS, sebuah akhbar harian memuatkan rencana bertajuk 'Wajib Menangkan Mat Sabu!'. Membaca tajuknya saja sudah dapat diagak, ia satu sindiran kepada Mat Sabu kerana dua minggu sebelum itu, akhbar yang sama memuatkan berbagai rencana dan berita yang menyokong Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Alasan yang diberikan, kerana Mohd Amar berlatarbelakang ulama, maka beliau calon yang tepat untuk mengisi jawatan nombor dua PAS.

Hujah yang diberikan, jika ulama menguasai PAS maka usaha untuk melihat kerjasama dijalinkan dengan UMNO akan lebih mudah. Jika Mat sabu dipilih, harapan untuk melihat UMNO dan PAS 'bekerjasama demi perpaduan Melayu' hanya akan tinggal harapan.

Keputusan sudah diumumkan, Mat Sabu kekal sebagai timbalan presiden PAS. Usaha pihak dari dalam dan luar PAS untuk melihat tokoh 'bersuara emas' itu tewas gagal. Biarpun menang tipis, menang tetap menang biarpun dengan hanya satu undi. Sekarang apa lagi yang mahu dikatakan? Terus memburukkan barisan pimpinan PAS? Kalau itu pilihannya, mana yang dikatakan mahu melihat perpaduan Melayu?

Ada yang menganggap, Mohd Amar boleh berbangga kerana berjaya memberi saingan sengit kepada Mat Sabu tetapi harus diingatkan jika tidak kerana endorsement dari ulama, pemimpin PAS Kelantan itu mungkin mengalami kekalahan yang teruk kerana beliau hanya dikenali di Pantai Timur sahaja terutama di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Mohd Amar perlu juga melihat kenapa dan mengapa sokongan penuh tidak beliau perolehi dari Kelantan. Jika benar beliau tokoh yang hebat tentunya sokongan penuh akan diperolehi dari negeri tersebut. Tetapi yang berlaku sebaliknya. Ini mungkin berlaku kerana sikap Mohd Amar itu sendiri yang didakwa mewujudkan puak dalam politik PAS Kelantan.

Kemenangan Mat Sabu memberi makna tersendiri kepada beliau sendiri dan juga Pakatan Rakyat. Dengan segala macam fitnah dan dikaitkan dengan berbagai kontroversi, tokoh kelahiran Pulau Pinang itu masih mampu meraih sokongan perwakilan. Mat Sabu amat dikenali diperingkat akar umbi, malah beliau antara tokoh PAS yang mampu menarik kehadiran ramai penyokong parti itu dan Pakatan Rakyat untuk hadir ke ceramah umum yang diadakan.

Mat Sabu juga dikenali sebagai tokoh yang mampu menghimpun penyokong PAS untuk menghadiri demonstrasi yang dianjurkan Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Himpunan Bersih. Mat Sabu bukan pemimpin yang hanya duduk di bilik beraircond tetapi seorang tokoh yang sanggup berpanas dan berhujan untuk berjuang bersama penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Beliau juga dikenali sebagai tokoh yang lebih banyak menghabis masa di mahkamah dan lokap kerana berjuang untuk kepentingan penyokong-penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Biarpun tidak mempunyai kelulusan berlatar belakangkan agama tetapi ia bukan alasan untuk perwakilan PAS menolak Mat Sabu dari terus menduduki kerusi nombor dua parti itu. Tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bukan juga alasan untuk perwakilan mengenepikan beliau.

Dari segi tahaluf siyasi dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kemenangan Mat Sabu memberi signal, muafakat politik tiga parti pembangkang itu akan lebih kukuh. Mat Sabu sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang menolak usaha kerjasama dengan UMNO.

Malah dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda baru-baru ini dan ketika ucapan pergulungan di Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Shah Alam pada Ahad, Mat Sabu mengingatkan pemimpin dan ahli PAS supaya tidak mudah terpedaya dengan godaan UMNO. Beliau mengingatkan supaya peristiwa PAS disingkir dari Barisan Nasional (BN) pada 1978 dijadikan iktibar.

Pemilihan sudah selesai. Apa juga ulasan dan cakap-cakap mengenai pemilihan PAS perlu dinilai sebaik mungkin. Yang memang perlu menunaikan amanah yang diberikan sebaik mungkin. Yang tewas, sumbangan kepada PAS masih boleh diberikan biarpun tidak mempunyai jawatan.

Kepada pemimpin dan ahli-ahli PAS, jurang antara dua kumpulan dalam parti itu perlu segera dirapatkan. Memang ada luka yang masih belum sembuh dan memerlukan masa. Tetapi usaha ke arah merapatkan saf kepimpinan perlu dilakukan. Jika tidak krisis dalaman akan dijadikan modal oleh pihak lawan untuk terus menyerang dan melemahkan PAS.