Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan 16,786 kompaun bernilai RM7.67 juta dari Januari sehingga November tahun ini melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan wabak denggi.

Menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan, dalam tempoh yang sama 1,651 kes terbabit didaftarkan untuk tindakan mahkamah manakala 769 kes disabitkan kesalahan telah dikenakan denda berjumlah RM279,920.

"Sepanjang bulan November sahaja, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan 1,271 kompaun bernilai RM596,750 melalui tindakan penguatkuasaan yang sama.

"Sebanyak 115 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah manakala 83 kes yang disabitkan kesalahan dikenakan denda berjumlah RM37,480," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan berkata 28,062 notis kesalahan telah dikeluarkan melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sepanjang Januari sehingga November tahun ini.