Skip to main content

Malaysia

Kementerian Kewangan secara prinsip setuju kenaikan elaun Rela - Saifuddin

AWAN/Waffy Noor Azmi
Saifuddin Nasution menegaskan, kadar baharu bagi anggota RELA tidak semestinya mencapai paras RM12 hingga RM13 sejam kerana kenaikan daripada RM8 kepada RM12 sejam akan memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan. - Gambar Astro AWANI/ WAFFY NOOR AZMI
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) secara prinsip bersetuju mempertimbangkan kenaikan kadar elaun upah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang kini RM8 sejam, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kadar baharu itu bagaimanapun masih diperhalusi dan akan ditentukan dalam julat yang munasabah, dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.

“Yang akan kita perhalusi nanti adalah quantum (jumlah), sebab kalau ikut kedudukan sekarang RM8 satu jam, penugasan minimum sehari adalah lapan jam, jumlah harinya 24 hari sebulan.

“Kalau kita hitung, dia tak melepasi pun gaji minimum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri himpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, sebagai perbandingan, kadar bayaran bagi anggota agensi kawalan keselamatan berada antara RM12 hingga RM13 sejam, termasuk bayaran berkaitan seperti PERKESO.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kadar baharu bagi anggota RELA tidak semestinya mencapai paras RM12 hingga RM13 sejam kerana kenaikan daripada RM8 kepada RM12 sejam akan memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

“Rela tak sampai tahap itulah. Kalau RM8 ke RM12 itu lonjakan yang mungkin memberikan kesan kewangan.

“Jadi saya istilahkan julat yang munasabah. Yang itu saya letakkan, saya beri sepenuhnya kepada Datuk KSU (Ketua Setiausaha KDN) untuk bincang susulan persetujuan prinsip oleh MoF,” ujarnya.

Saifuddin menjelaskan, persetujuan prinsip berkenaan diperoleh ketika sesi dialog belanjawan antara KDN dan MOF kira-kira seminggu lalu, dan melibatkan lebih 35,000 anggota Rela yang aktif bertugas.

Menurutnya, daripada kira-kira 150,000 anggota Rela yang sedia digerakkan, lebih 35,000 kini menjalankan tugasan termasuk menjaga kawasan atau tempat larangan, membantu kawalan lalu lintas dan tugasan lain.

Ujar Saifuddin lafi, kenaikan itu turut perlu disegerakan pelaksanaannya memandangkan ia berkaitan dengan belanjawan tahun depan.

“Saya minta supaya persetujuan itu disusuli oleh Datuk KSU supaya pelaksanaannya juga pada tahun kewangan cepat sikit.

“Kami harap persetujuan prinsip, persetujuan dasar MOF itu akan memberi manfaat besar kepada 35,000 anggota.

“Jadi, saya minta hal itu disegerakan melalui inisiatif yang akan dikepalai oleh Datuk KSU dan pasukan,” katanya.

Saifuddin berkata kadar semasa RM8 sejam juga dilihat tidak lagi memadai sekiranya mengambil kira tempoh penugasan anggota Rela.
 

Must Watch Video

Advertisement