Kementerian Komunikasi teruskan tindakan proaktif pantau penyebaran maklumat palsu

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sebanyak 49,810 kandungan maklumat palsu daripada 58,266 permohonan yang dikemukakan MCMC, iaitu 85 peratus, telah berjaya diturunkan sejak Januari 2022 hingga 30 Nov lepas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mengambil tindakan proaktif serta menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan platform dan penguatkuasaan bagi memantau penyebaran maklumat palsu di media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sebanyak 49,810 kandungan maklumat palsu daripada 58,266 permohonan yang dikemukakan MCMC, iaitu 85 peratus, telah berjaya diturunkan sejak Januari 2022 hingga 30 Nov lepas berdasarkan aduan diterima serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh setiap platform.
"Pemantauan berterusan oleh MCMC membolehkan langkah-langkah awal diambil bagi mengekang penyebaran maklumat palsu dan propaganda politik berasaskan algoritma media sosial," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu langkah mengekang penyebaran berita palsu di media sosial.
Teo berkata MCMC turut melancarkan Chatbot Sebenarnya.my atau Artificial Intelligence Fact-check Assistant (Chatbot AIFA) pada 28 Jan lepas untuk membantu rakyat menyemak serta mendapatkan maklumat sahih dengan lebih mudah dan pantas selain memperkukuh fungsi portal Sebenarnya.my dalam mengesan dan mengekang penyebaran kandungan tidak sahih.
Menjawab soalan tambahan Salehuddin mengenai langkah menangkis tohmahan dan berita palsu terhadap kerajaan dan agenda politik, Teo berkata kerajaan berdepan kesulitan kerana penurunan kandungan terletak di bawah bidang kuasa penyedia platform.
"Mereka akan meneliti kandungan untuk membuat keputusan sama ada ia adalah berita palsu dan melanggar garis panduan komuniti mereka supaya kandungan tersebut boleh diturunkan," katanya.
Beliau berkata sebanyak 15 peratus kes yang tidak berjaya diturunkan adalah disebabkan penyedia platform berpendapat ia adalah kebebasan suara rakyat dan enggan mengambil tindakan.
"Kami memastikan kebebasan bersuara memang dilindungi, kita masih berpegang kepada prinsip bahawa rakyat berhak mengkritik kerajaan tetapi apabila ada berita palsu, memang salah... seperti mengatakan bahawa Perdana Menteri semasa tiba ke Sabah tetapi dihalau, ini memang berita palsu... jadi, kami akan mengambil tindakan seawajarnya," kata beliau.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai kandungan palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan di media sosial, Teo berkata pengguna dinasihat membuat semakan sebelum mempercayai sebarang kandungan termasuk berkaitan produk yang melanggar undang-undang.
"MCMC akan membantu agensi apabila menerima permintaan untuk menurunkan kandungan seperti contohnya ubat... MCMC tidak mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti sama ada ia diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Kalau MCMC menerima aduan KKM menyatakan bahawa sesuatu ubat atau produk tidak mendapat kelulusan, jadi MCMC akan meminta platform itu menurunkan dan mengharamkan atau tidak membenarkan produk tersebut dipapar atau dijual di platform tersebut," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


