IPOH: MCA kini giat mengenal pasti ahli dan pemimpin muda berusia 40 tahun ke bawah yang berpotensi diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memenangi semula hati pengundi menyokong parti itu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata langkah meremajakan parti itu dengan mencalonkan pemimpin muda penting memandangkan pola pengundian kini cenderung kepada kredibiliti individu serta personaliti calon berbanding faktor parti semata-mata.
Advertisement
"Maka untuk kekal relevan, menjadi lebih attractive (menarik) dan mendapat sokongan majoriti, kita perlu bertindak mengikut perubahan semasa. Kita mahu tampilkan pilihan yang lebih baik dan lebih fokus kepada isu sekarang, kita nak melangkaui politik identiti.
"Nak jadi wakil MCA kita perlu boleh berdebat, berbicara mengenai dasar lebih daripada retorik politik semata-mata kerana rakyat dah serik dengan retorik politik ini," katanya kepada pemberita pada Program Santai Media Perak, di sini, hari ini.
Neow berkata demikian ketika ditanya berkenaan pandangan beliau tentang pola politik kini, sama ada pengundi cenderung memilih parti politik atau individu itu sendiri.
Dalam pada itu, beliau menegaskan strategi meremajakan parti tidak bermakna mengetepikan pemimpin berpengalaman, sebaliknya meletakkan mereka sebagai penyokong lapisan kedua bagi membantu calon muda yang bertenaga dalam mendepani realiti politik semasa.
Beliau berkata langkah itu diambil bagi membina imej MCA yang lebih segar dan relevan mengikut kehendak pengundi masa kini yang mahukan wakil rakyat yang mampu berbicara mengenai dasar melebihi retorik politik semata-mata.
"Inilah strategi kita, kebersamaan di semua peringkat umur dengan masing-masing sudah tahu peranan masing-masing kerana kita mahu imej itu yang yang dibawa oleh MCA. Kita dah melalui pelbagai proses, jatuh bangun.
"Jadi, MCA perlu berubah mengikut trend, bukan sahaja trend tetapi kehendak realiti politik semasa. Kita perlu bertindak mengikut keadaan supaya kita boleh kekal relevan," katanya.
-- BERNAMA