KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menunggu terma dan syarat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) sebelum melaksanakan pelesenan terhadap platform e-dagang.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata di bawah kerangka perundangan sedia ada, MCMC mempunyai kuasa untuk melesenkan platform berkenaan, namun syarat khusus perlu ditetapkan oleh kementerian berkaitan.
“Ya, kami sebenarnya telah mengadakan perbincangan dengan MOF bersama-sama KPDN. Saya fikir keputusan KPDN adalah untuk mengkaji cara mengawal selia platform e-dagang ini. MCMC atau Kementerian Komunikasi terlibat kerana di bawah kerangka perundangan Malaysia, kami mempunyai kuasa untuk melesenkan platform e-dagang.
“Bagaimanapun, mengenai terma dan syarat yang akan dikenakan, kami sebenarnya sedang menunggu arahan atau maklum balas daripada MOF dan khususnya KPDN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Ekspo E-Dagang Rentas Sempadan ASEAN-China (CBE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Teo berkata MCMC bersedia melaksanakan pelesenan itu sebaik sahaja kerangka berkenaan ditetapkan bagi memastikan persekitaran perniagaan yang adil.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan peruncit tempatan berhubung kewujudan sebuah platform e-dagang utama dari China yang terkenal dengan produk pada harga amat rendah.
“MCMC bersedia pada bila-bila masa. Kami juga telah berhubung dengan platform berkenaan tetapi sekali lagi, perkara ini bukan hanya menyasarkan platform itu, sebaliknya semua platform e-dagang. Kami mahu mewujudkan platform persaingan yang sama rata dan memastikan pengguna Malaysia dilindungi,” katanya.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai kedudukan pemimpin DAP dalam Kabinet susulan pengumuman yang dibuat Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk meletakkan jawatan, Teo berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu telah memutuskan semua menteri dan timbalan menterinya akan kekal dalam jawatan masing-masing.
“Itu adalah keputusan CEC bahawa hanya Setiausaha Agung, iaitu Saudara Anthony Loke yang letak jawatan. Bagi menteri dan timbalan menteri, keputusan CEC adalah untuk mereka kekal dalam jawatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata kehadiran mereka yang berterusan dalam Kabinet adalah bukti kukuh sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA