MALAYSIA
Kementerian Luar pantau rapi penahanan sukarelawan Malaysia oleh pihak berkuasa Israel

Mohamad Alamin berkata Wisma Putra bekerjasama rapat dengan PMO bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada rakyat Malaysia yang terlibat. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedang memantau rapi perkembangan sukarelawan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Ringkasan AI
- Kementerian Luar sedang memantau rapi dan bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri bagi memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla.
- Timbalan Menteri Luar menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bersuara menentang kekejaman Israel dan mempertahankan hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
- Setakat 10.44 pagi, 14 kapal flotilla telah dipintas dan 201 peserta termasuk 12 rakyat Malaysia dipercayai ditahan oleh tentera Israel.
"Kita juga bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri untuk membantu rakyat kita yang terlibat dalam misi ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Forum on ASEAN: Shaping a More Inclusive and Sustainable Future di sini pada Khamis.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan membantu sebaik mungkin keluarga rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi itu.
"Kita sentiasa memantau perkembangan dari masa ke semasa. Buat masa sekarang, kita hanya boleh berdoa supaya rakyat kita yang terlibat selamat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Malaysia komited untuk terus bersuara menentang kekejaman Israel serta mempertahankan hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa.
"Malaysia tidak akan berhenti menyuarakan pendirian kita. Kita akan terus kuat, kita akan terus komited. Ini bukan ancaman, sebaliknya satu amaran bahawa Malaysia tetap teguh bersama Palestin," katanya.
Mohamad berkata kerajaan sentiasa membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan ke Gaza, sambil menegaskan bahawa NGO terlibat perlu sentiasa memaklumkan keadaan semasa mereka serta berwaspada di kawasan kritikal.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, setakat 10.44 pagi (waktu Malaysia) sejumlah 14 daripada 44 kapal flotila telah dipintas dan 201 daripada 497 orang peserta, termasuk 12 rakyat Malaysia dipercayai ditahan.
Misi kemanusiaan GSF yang disertai sukarelawan daripada pelbagai negara itu berlepas menuju ke Gaza dengan membawa bekalan bantuan asas untuk rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Sebelum ini, beberapa misi flotila antarabangsa turut berdepan halangan serupa, meskipun membawa bantuan kemanusiaan dan sukarelawan yang tidak bersenjata.
Dalam pada itu, Mohamad berkata ASEAN mesti memikul tanggungjawab utama terhadap keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau, tanpa tunduk kepada pengaruh kuasa besar.
Beliau menekankan bahawa prinsip asas penubuhan ASEAN enam dekad lalu kekal sebagai panduan, iaitu penyelesaian melalui dialog, diplomasi dan konsensus, yang telah membolehkan rantau ini mengekalkan kestabilan berbanding banyak kawasan lain di dunia.
Menurut beliau, prinsip Pemusatan ASEAN adalah untuk memastikan Asia Tenggara kekal bebas daripada campur tangan luar, sekali gus membolehkan semua negara anggota memberi sumbangan setara kepada agenda pembangunan mampan.
Beliau menyeru ASEAN bertindak dengan tujuan yang jelas dan visi bersama dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk perubahan iklim, geopolitik serta isu kemanusiaan seperti pelarian agar keamanan dan kesejahteraan rantau itu dapat terus dipelihara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami