MANJUNG: Lima lelaki rakyat Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan menyeludup 18 migran warga senegara dalam insiden bot karam di perairan Pulau Pangkor yang mengorbankan 16 nyawa pada Mei lepas.
Tertuduh dikenali sebagai Nanda, 42, yang didakwa sebagai tekong, M Kahfi Kamil, 21, (pembantu tekong), Suyanto, 25, (pengendali enjin bot) serta M Yunus, 43, dan Riadi Slamat, 43, masing-masing bekerja sebagai tukang masak.
Kesemua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Indonesia di hadapan Hakim Azizah Ahmad. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan kesemua didakwa secara bersama-sama menjalankan aktiviti penyeludupan migran melibatkan 18 migran warga Indonesia yang berusia antara hingga 21 hingga 48 tahun, di perairan berhampiran Pulau Pangkor pada kira-kira 6 pagi, 11 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (AKTA 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamila Jalaluddin yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kes berkenaan tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan jaminan, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Beliau turut memaklumkan bahawa 18 migran yang diseludup ke negara ini telah dituduh di Mahkamah Majistret Manjung pada 22 Mei lepas dengan sebutan semula akan dilakukan pada 15 Jun ini untuk kehadiran jurubahasa.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Jun untuk tarikh sebutan semula kes.
Pada 11 Mei lepas, sebuah bot yang membawa 39 migran warga Indonesia karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor, mengorbankan 16 nyawa manakala 23 lagi selamat.
-- BERNAMA