Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk mengkaji semula hukuman buang sekolah ke atas pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah.

Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata ini adalah kerana hukuman itu hanya dalam tempoh maksimum dua minggu dan bukannya membuang terus pelajar berkenaan dari sistem pendidikan dan tidak lagi mempunyai peluang untuk kembali bersekolah.

"Perkara ini perlu jelas, pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah, selepas kita beri amaran, rotan dan sebagainya barulah kita ambil tindakan buang sekolah ini.

"Namun hukuman buang sekolah ini bukanlah bermaksud pelajar itu langsung tidak boleh kembali ke sekolah selepas tempoh hukuman tamat, ibu bapa boleh buat permohonan semula kepada sekolah sama atau sekolah lain untuk membolehkan anak mereka bersekolah semula.

"Namun jika ibu bapa tidak buat permohonan pihak sekolah atau pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru akan mencari pelajar berkenaan dan minta dia mohon untuk kembali ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas program Mengedarkan Kalender 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) baru-baru ini agar hukuman buang sekolah sedia ada dihapuskan dan digantikan dengan kelas pemulihan atau peralihan buat murid sekolah yang bermasalah atau berhadapan masalah disiplin.

Menurut Menterinya Datuk Seri Rohani Karim, ia adalah bagi memberi impak jangka panjang kepada masa depan seseorang remaja dalam memastikan mereka mendapat peluang memperbaiki hidup dan kembali kepada masyarakat.

Namun cadangan itu mendapat bantahan daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Dalam perkembangan lain, Chong berkata kementerian sedia berbincang mengenai cadangan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memperkenalkan subjek baharu iaitu subjek alam sekitar dari peringkat tadika hingga ke universiti.

"Kalau ikutkan subjek mengenai alam sekitar ini memang sudah ada di sekolah-sekolah tetapi dalam subjek geografi.

Chong berkata jika sekadar mahu menambah baik subjek sedia ada mengenai alam sekitar ketika ini, ia boleh dipertimbangkan namun sekiranya perlu mewujudkan mata pelajaran baharu untuk alam sekitar ia dikhuatiri akan menjadi bebanan dalam sistem pendidikan yang akkhirnya memberi kesan kepada prestasi pelajar.

-- BERNAMA