MALAYSIA
Kementerian Pertahanan sedia bantu bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-59 di Wisma Perwira ATM hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan bersiap siaga untuk melaksanakan sebarang arahan kerajaan berhubung misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran susulan ketegangan yang kian memuncak antara negara itu dan Israel.
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan bersedia melaksanakan arahan kerajaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran, namun urusan dikendalikan Kementerian Luar memandangkan sensitiviti penggunaan aset ketenteraan.
- Misi evakuasi dijangka bermula Jumaat ini, dengan persiapan termasuk visa perjalanan; kerajaan beri amaran kepada rakyat Malaysia supaya segera keluar dari Iran berikutan ketegangan Iran-Israel yang semakin memuncak.
- Keselamatan anggota MALBATT di Lubnan disahkan terkawal, dengan komunikasi berterusan antara pasukan dan pihak berkuasa sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.
"Saya kata mungkin belum melibatkan Kementerian Pertahanan. Setakat ini kita sedia menerima apa-apa arahan daripada kerajaan apabila keputusan dibuat," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59 di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata penggunaan aset ketenteraan untuk misi seumpama itu tidak semestinya menjadi pilihan utama kerana dikhuatiri menimbulkan salah tafsir berkaitan kehadiran tentera Malaysia.
"Dalam konteks ini, kapal terbang tentera adalah lebih baik tidak masuk sebab nanti ingat tentera datang hendak bantu," katanya.
Semalam, jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata proses membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dilaksanakan Jumaat ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata antara persiapan yang sedang dilakukan ialah penyediaan visa perjalanan.
Konflik antara Iran dan Israel memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh rejim Zionis itu ke atas wilayah Iran dan sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.
Sebelum ini, Wisma Putra menyeru semua rakyat Malaysia yang berada di Iran agar meninggalkan negara itu serta-merta, susulan keadaan tidak menentu dan berisiko bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.
Sementara itu, mengulas mengenai keselamatan anggota Pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT) di Lubnan susulan ketegangan membabitkan Iran dan Israel, Mohamed Khaled menegaskan kedudukan mereka masih selamat.
"Kita memang sentiasa ada hubungan berterusan (dengan pasukan di Lubnan). Kalau ada apa-apa, tentunya kita akan dimaklumkan dan akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami