Kementerian Wilayah Persekutuan merancang melaksanakan projek penanaman kelapa secara meluas di Labuan yang dijangka bermula awal Mac ini.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata pihaknya sedang mengenal pasti kawasan bersesuaian untuk melaksanakan projek itu yang menyasarkan penanaman 15,000 anak pokok kelapa jenis Matag.

"Bagaimanapun susulan kekangan tanah di kawasan berkenaan, kami juga bercadang memberi anak pokok kelapa terbabit kepada penduduk untuk ditanam berhampiran rumah mereka," katanya dalam temu bual bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Feb.

Beliau berkata projek yang dianggar menelan kos hampir RM300,000 itu bertujuan mengurangkan kebergantungan Labuan kepada barangan import khususnya barangan keperluan asas selain mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Kita sering menerima rungutan tentang harga barangan yang dijual di sana (Labuan) lebih mahal kerana diimport. Contohnya santan, kalau harga pasaran RM6.50, di Labuan RM10.50," kata beliau.

Pelancaran projek penanaman kelapa itu dijadual berlangsung 26 Feb ini bersempena program 'Labuan Go Green' iaitu satu daripada 45 acara sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 yang berlangsung sepanjang Februari.

Adnan berkata kementerian juga akan membantu mempergiatkan pembangunan industri pelancongan di Labuan untuk menggerakkan aktiviti ekonomi di pulau itu.

"Melalui projek itu, kita berharap mampu mengimbangkan pembangunan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan," katanya.

--BERNAMA