Skip to main content

Malaysia

Kemerdekaan tuntut tanggungjawab, bukan sekadar lambang kebebasan

Sumber: BERNAMA
Dalam konteks sebuah negara, Malaysia adalah sebuah negara muda yang masih panjang perjalanannya. Banyak liku dan ranjau yang perlu didepani dengan penuh hikmah dan bijaksana. - Gambar hiasan/ Bernama
Advertisement

KITA baru sahaja menyambut ulang tahun kebangsaan yang ke-69 semalam.

Sambutan ini lebih bermakna kepada saya khususnya, kerana 31 Ogos juga adalah tarikh kelahiran saya.

Sewaktu saya kecil lagi, bonda pernah menceritakan ketika saya di lahirkan pada 31 Ogos, arwah ayah saya sedang menyertai perbarisan sambutan kemerdekaan.

Arwah ayah merupakan bekas anggota polis hutan yang telah kembali ke rahmatullah pada 1981. Al-Fatihah.

Justeru, sebagai anak merdeka yang dilahirkan berkebetulan pada tanggal 31 Ogos, saya amat bersyukur kehadrat Ilahi kerana setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran, saya turut meraikan detik keramat ulang tahun kemerdekaan negara yang dicintai.

Kita telah pun menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-69. 

Jika Malaysia diibaratkan seorang manusia, usia 69 tahun adalah usia emas yang melangkaui tempoh persaraan. 

Namun dalam konteks sebuah negara, Malaysia adalah sebuah negara muda yang masih panjang perjalanannya. 

Banyak liku dan ranjau yang perlu didepani dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Ketika perjuangan menuntut kemerdekaan, apa yang difikirkan oleh pejuang dan rakyat terdahulu? 

Apa yang mendorong untuk mereka berjuang dan sanggup bergadai nyawa dan harta demi sebuah kemerdekaan? 

Saya pasti, semua ini bermula dengan satu rasa, iaitu tanggungjawab.

Tanggungjawab membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Tanggungjawab membebaskan diri daripada perhambaan sesama manusia.

Maka, dengan tertunainya tanggungjawab mendapat kemerdekaan itulah, kita kemudiannya, mendapat hak menjalani sebuah kehidupan yang aman dan damai.

Hak untuk memperolehi kebebasan sebagai seorang insan yang bermaruah.

Dalam kehidupan, tanggungjawab selalu datang sebelum hak. Bukan hak dahulu, kemudian tanggungjawab. 

Malah, sebagai seorang muslim yang dilahirkan di muka bumi, kita dilahirkan dalam keadaan berhutang. 

Apabila kita dilahirkan ke dunia, kita diberikan nyawa dan anggota tubuh badan. Itu hutang kita kepada pencipta. Dalam kata lain, kita berhutang nyawa kepadaNya.

Justeru, apabila kita dilahirkan dalam keadaan berhutang, kita mempunyai tanggungjawab untuk melunaskan hutang tersebut meskipun kita tidak dapat membayar kesemuanya. 

Apabila Allah menganugerahkan kita nikmat kelahiran dan kehidupan, menjadi keutamaan kita menunaikan semua tanggungjawab sebagai hamba-Nya. 

Ini termasuk tanggungjawab kita menjadi insan yang bertaqwa dengan menunaikan segala perintah dan menjauhi laranganNya. 

Apabila kita menunaikan tanggungjawab sebagai seorang insan yang taat, maka hak akan datang dengan sendirinya. 

Sebagai contoh, jika seseorang itu menjadi seorang ibu dan ayah yang bertanggungjawab, maka anak mereka mendapat hak sebagai seorang anak.

Hak untuk mendapat kehidupan yang sempurna, hak mendapat pendidikan dan hak mendapat kasih sayang.

Dalam konteks yang lebih besar, seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berintegriti dan amanah, maka rakyat secara automatiknya, mendapat hak untuk memperolehi keadilan dan kesejahteraan dalam kehidupan. 

Sebaliknya, pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak melaksanakan amanah, maka rakyat tidak akan mendapat hak, keadilan dan pembelaan yang sewajarnya.

Begitulah sifirnya, sangat mudah. Tanggungjawab dahulu, hak kemudian. 

Tulisan ini sebenarnya bukanlah menidakkan soal hak atau kebebasan, tetapi untuk mencapai hak, tanggungjawab perlulah ditegakkan terlebih dahulu. 

Dan inilah falsafah di sebalik kelahiran kita di muka bumi seperti yang dijelaskan sebelum ini.

Namun, sangat membimbangkan sejak akhir-akhir ini, apabila banyak pihak mendahulukan soal hak dan kebebasan, bukan tanggungjawab. 

Maka, tidak mustahil apabila kita mendapati perjuangan hak dan kebebasan itu ada kalanya tersasar daripada kebenaran dan hakikat insan. 

Lebih malang, ia mencabar tanggungjawab dan peranan sebenar kita sebagai hamba Allah yang sifatnya berhutang.

Tuntutan hak dan kebebasan mutlak adalah suatu perlu dielakkan. Tuntutan hak dan kebebasan bukanlah satu kesalahan, tetapi ia menjadi kesalahan apabila ia menuntut kebebasan mutlak yang bercanggah dengan peraturan Tuhan dan alam.

Pada kesempatan yang berharga ini, marilah kita meraikan sambutan kemerdekaan dengan penuh tanggungjawab.

Janganlah kita cemari sambutan bermakna ini dengan tuntutan hak yang tidak mendasari tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dan lebih penting, hamba Tuhan.

Dalam konteks pendidikan tinggi, isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) seperti yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri telah menarik perhatian umum. 

Terima kepada kerajaan yang cukup prihatin dengan soal kebebasan mahasiswa kita yang mencorak ekosistem kampus agar lebih kondusif.

Faktor utama pemansuhan akta ini adalah untuk memberikan kebebasan atau hak kepada pelajar untuk bersuara dan menyatakan pandangan. 

Kita menyokong bahawa kebebasan bersuara adalah aspek utama dalam kebebasan berpolitik mahasiswa. 

Tanpa kebebasan bersuara, maka tiadalah kebebasan berpolitik yang dijamin oleh akta tersebut.

Namun, kebebasan ini bukanlah suatu yang mutlak kerana ia perlu dipertanggungjawabkan. 

Di sebalik kebebasan yang dilaung-laungkan, tanggungjawab seorang mahasiswa untuk menjadi manusia yang kukuh dengan nilai agama dan budaya, bertanggungjawab kepada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara perlu diberikan perhatian utama.

Kita berharap hak dan kebebasan yang dijamin dengan pemansuhan AUKU nanti akan dapat melahirkan mahasiswa yang kukuh aktivisme dan idealisme mereka sehingga dapat menjayakan suatu darmabakti, iaitu memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.

Secara tuntasnya, kita percaya bahawa jika semua pihak memikirkan bagaimana untuk melunaskan tanggungjawab masing-masing terlebih dahulu, maka hak akan tertegak dengan sendirinya. 

Bagaimana hak boleh bertegak, jika tanggungjawab gagal ditunaikan.

Selamat menyambut hari kemerdekaan dengan menyayangi negara tercinta, Malaysia. 

Tanggungjawab kita adalah untuk mempertahankan kemerdekaan ini dengan rasa cinta, patriotisme tinggi dan pengorbanan menjadi warganegara yang baik dalam apa juga sumbangan kita.

Sesungguhnya, kemerdekaan menuntut tanggungjawab kita mempertahankannya, bukan sekadar lambang kebebasan.


  • Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
  • Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement