Skip to main content

Malaysia

Kemiskinan, kurang didikan agama punca utama gejala sosial kanak-kanak di Kelantan - Polis

Mohd Yusoff (dua dari kiri) semasa hadir pada Mesyuarat Permuafakatan JPN dan IPK Kelantan di Tunjung, Kota Bharu pada Ahad. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Yusoff (dua dari kiri) semasa hadir pada Mesyuarat Permuafakatan JPN dan IPK Kelantan di Tunjung, Kota Bharu pada Ahad. -Foto Sinar Harian
Advertisement

KOTA BHARU: Kemiskinan dan kurang didikan agama dikenal pasti antara punca utama yang mencetuskan gejala sosial serta pengabaian kanak-kanak di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak yang menjadi mangsa pengabaian, penderaan dan masalah sosial dikesan berlaku dalam keluarga berpendapatan rendah, selain berdepan konflik rumah tangga, perceraian serta penyalahgunaan dadah.

"Tindakan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada menyelamat dan memulihkan kanak-kanak selepas menjadi mangsa, sebaliknya perlu bermula dengan menyelesaikan punca di peringkat keluarga.

"Kita mahu selesaikan masalah di akar umbi. Apabila sekolah mengesan ada murid yang diabaikan, menjadi mangsa gangguan seksual atau mengalami masalah emosi, kita bukan hanya melihat kepada kanak-kanak itu, tetapi juga keadaan ibu bapa serta penjaga mereka," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau menghadiri Mesyuarat Permuafakatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Tunjung di sini.

Hadir sama, Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad.

Menurut Mohd Yusoff, hasil penelitian mendapati sebahagian besar isu sosial membabitkan kanak-kanak berlaku dalam keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Katanya, faktor lain yang turut menyumbang ialah institusi keluarga yang rapuh, perceraian, ibu bapa dipenjarakan akibat penyalahgunaan dadah serta kurangnya didikan agama dalam keluarga.

"Semua faktor ini saling berkait dan akhirnya memberi kesan kepada pembentukan sahsiah serta kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Jawatankuasa Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diperkasakan supaya intervensi dapat dilaksanakan lebih awal melalui kerjasama sekolah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, ibu bapa atau penjaga yang melakukan penganiayaan, pengabaian, membuang atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya masih boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, ujar beliau, pendekatan menghukum semata-mata bukanlah penyelesaian terbaik kerana ia boleh menjejaskan kebajikan kanak-kanak yang masih memerlukan penjagaan.

"Kalau ibu bapa dipenjarakan, siapa pula yang akan menjaga anak-anak mereka? Sebab itu kita mahu tindakan pencegahan dan pemulihan dilaksanakan lebih awal agar keluarga ini dapat dibantu sebelum keadaan menjadi lebih parah," katanya. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement