KUALA LUMPUR:Pelancaran Kempen Merdeka bersama Coop Bank Pertama (CBP) baru-baru ini menyuntik semangat keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Presiden juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, kempen yang bermula pada 14 Ogos sehingga 1 September lalu menerima lebih 300 penyertaan sejajar dengan tema Hari Kebangsaan 2020 iaitu 'Malaysia Prihatin'.

"Pemilihan pemenang bagi pertandingan kempen ini berdasarkan nilai estetika setiap foto dikongsi peserta yang menyentuh tentang isu semasa dan nilai perpaduan serta keharmonian.

"Saringan dilakukan menerusi tiga peringkat dan pemilihan foto terbaik mengambil masa lebih kurang seminggu.

"CBP juga merancang untuk menjadikan kempen ini sebagai acara tahunan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan bakal menawarkan hadiah lebih menarik tahun hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada lima pemenang Kempen Merdeka bersama CBP, di ibu negara.

Kempen Merdeka Bersama CBP dianjurkan buat julung kalinya itu turut bertujuan untuk menyuntik semangat keharmonian dalam kalangan masyarakat menerusi perkongsian foto ekspresi kemerdekaan di laman media sosial Facebook dan Instagram CBP. 

Tempat pertama pertandingan itu dirangkul Puteri Arafah Bahrin yang membawa pulang hadiah sijil deposit Tawarruq CBP bernilai RM1,500.

Sementara itu, pemenang tempat kedua, Mohd Nazri Sulaiman menerima sijil deposit Tawarruq bernilai RM1,000.

Pemenang tempat ketiga pula, Abdul Aziz Mohad Soffian menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 dengan pembukaan akaun simpanan i-Salam CBP, manakala pemenang tempat keempat iaitu Lim Chun Aun dan kelima Rafidah Shafie masing-masing menerima wang tunai serta pembukaan akaun simpanan i-salam CBP berjumlah RM 250.

Dalam pada itu kata Mohd Nor, CBP turut merancang pelbagai program sebagai usaha untuk memperkenalkan lagi jenama organisasi itu dengan lebih luas.

Tambahnya, CBP kini menjangkaan pembukaan secara serentak dua cawangan baharu di Setapak, Kuala
Lumpur dan Manjong, Perak pada pertengahan November 2020.

"Bagaimanapun perancangan cawangan ketiga iaitu di Tawau, Sabah tidak dapat beroperasi pada tarikh yang sama berikutan penularan wabak COVID-19.

"Pembukaan cawangan baharu dijangka dapat memperluaskan prospek pelanggan dan membawa perkhidmatan perbankan terus kepada rakyat.

"Namun, pelancaran operasi cawangan di Tawau, Sabah terpaksa diperlahankan memandangkan kes COVID-19 di negeri itu," ujarnya.

CBP yang ditubuhkan pada 7 Jun 1950 diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai sebuah bank pada 2004, kini memiliki 26 cawangan di seluruh Malaysia, serta mempunyai modal syer berbayar hampir RM1 bilion.