Skip to main content

Malaysia

Kenaikan bil elektrik: Kerajaan teliti langkah mitigasi segera esok

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar (foto) berkata mesyuarat itu akan membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan (MOF). -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat khas akan diadakan pada Khamis bagi meneliti langkah mitigasi segera susulan keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini, yang antara lain dipengaruhi peningkatan penggunaan elektrik akibat keadaan jerebu dan cuaca panas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat itu membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum keluhan rakyat berhubung perkara itu dan menganggapnya sebagai isu yang perlu diberi perhatian serta ditangani segera.

Menurut beliau, usaha penyasaran subsidi akan terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.

"Sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, Anwar berkata keadaan jerebu dan cuaca panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Anwar berkata kerajaan akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Must Watch Video

Advertisement