NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membincangkan secara serius cadangan kenaikan gaji bagi guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi, sebagai pengiktirafan kepada golongan pendidik di negara ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, setakat ini perkara itu berada dalam radar perbincangan peringkat KPM, sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Jelasnya, tumpuan utama KPM adalah untuk meningkatkan kualiti guru dari segi kelayakan akademik dan perkhidmatan pendidikan negara.

"Kita ambil pandangan saranan kenaikan gaji guru memiliki kelayakan akademik lebih tinggi itu secara serius.

"Dan saranan berkaitan kenaikan gaji penjawat awam seperti mana yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan jadi tumpuan awal, sebaik saja ekonomi negara pulih.

"Dan ia juga tidak lari dari hasrat KPM yang melihat perkara sama.

"Kita sedang berada dalam radar perbincangan dan juga dalam konteks untuk menaikkan gaji guru, serta dari segi kualitifikasi, maknanya, integriti kualiti dan perkhidmatan perguruan.

"Ini menjadi tumpuan kita," katanya kepada media selepas Merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Sabri Said.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, guru di negara ini sangat berkelayakan dan terlatih dalam bidang mereka.

Tambahnya, tiada sebarang halangan untuk guru-guru menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana ia akan meningkatkan lagi integriti perguruan dan kualiti guru dari semasa ke semasa.

Beliau mengulas mengenai laporan yang menyarankan kerajaan supaya menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada mereka kerana berusaha memperkemaskan diri bagi memantapkan lagi pendidikan demi anak bangsa.

Setiausaha Kluster Pendidikan & Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Anuar Ahmad sebelum ini berkata, ketika ini gaji guru yang memiliki Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) adalah sama dan perkara itu wajar dikaji semula.

Katanya, kerajaan harus memberikan insentif kepada guru yang mempunyai kelayakan lebih tinggi supaya mereka dapat rasakan kepentingan menyambung belajar bukan sahaja bagi menambah ilmu, tetapi juga boleh meningkatkan pendapatan dalam bidang yang diceburi.