BAGAN SERAI: Orang ramai diminta melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika terdapat peniaga ayam di pasar awam di seluruh negeri Perak bertindak menaikkan harga ayam khususnya pada bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria berkata laporan itu perlu bagi membolehkan tindakan tegas diambil kepada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam sehingga membebankan rakyat.

"Ayam merupakan sumber protein yang menjadi barangan keperluan dan harganya lebih rendah berbanding harga ikan.

"Jika harga ayam naik menyebabkan peniaga di bazar Ramadan juga mengambil kesempatan menaikkan harga jualan mereka kerana permintaan yang tinggi pada bulan ini dan ini akan membebankan rakyat. Jadi, saya minta agar laporkan segera," katanya selepas melawat rumah seorang penduduk yang memerlukan bantuan Baitulmal di Kampung Parit Haji Taib 3 di sini, hari ini.

Beliau berkata bekalan ayam dan telur ayam ketika ini mencukupi kerana negeri ini merupakan antara pengeluar ayam terbesar di Semenanjung Malaysia.

Mengenai lawatannya hari ini, Razman berkata sebuah rumah baharu dilengkapi tiga bilik akan dibina bagi membantu kesulitan sebuah keluarga asnaf, Ahmad Gani bersama isteri dan enam anak berumur lima hingga 21 tahun, yang ketika ini menumpang di rumah milik saudaranya.

"Saya dapati lapan beranak ini terpaksa tidur berhimpit di ruang tamu kerana rumah itu mempunyai satu bilik sahaja. Keluarga ini akan dipindahkan ke sebuah rumah baharu tiga bilik di Kampung Alor Singa tidak lama lagi.

"Saya sudah membeli sebidang tanah mengandungi 80 lot untuk bina rumah baharu bagi menempatkan golongan asnaf ini," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol.

Sementara itu, Ahmad, 55, yang bekerja kilang di Nibong Tebal, Pulau Pinang bersyukur atas keperihatinan Razman dalam membantu menyediakan sebuah rumah baharu kepada keluarganya.

"Saya tidak mempunyai tapak rumah sendiri walaupun ada membuat permohonan dengan Baitulmal untuk membina rumah baharu sebelum ini," katanya.

-- BERNAMA