MALAYSIA
Kenaikan kos bahan binaan tidak jejas harga Rumah Mesra Rakyat

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu (tiga kiri) ketika gimik penyerahan pada Majlis Serah Kunci Rumah Mesra Rakyat di Kampung Sungai Kelambu, Banting hari ini. - Foto BERNAMA
BANTING: Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga jualan Rumah Mesra Rakyat (RMR) walaupun berlaku kenaikan harga barangan bagi sektor pembinaan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selaku agensi bertanggungjawab mempunyai pelbagai mekanisme dalam menampung kenaikan kos terbabit termasuk menerusi penggunaan sistem binaan berindustri (IBS).
"Itu antara kebijaksanaan SPNB dalam menghadapi isu kenaikan kos bahan binaan tanpa perlu menaikkan harga jualan RMR.
"Dengan kaedah IBS bukan sahaja harga rumah tidak perlu dinaikkan, malah kualiti binaan RMR juga lebih baik selain reka bentuk rumah yang dibina menjadi lebih menarik," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat dan penyerahan kunci kepada 10 pemilik baharu RMR dari daerah Sepang di Kampung Sungai Kelambu di sini hari ini.Hadir sama Pengerusi SPNB Datuk Prof Dr Azmi Mohd Lila.
Ketika ini RMR yang dikhususkan kepada golongan B40 dijual pada harga RM75,000 seunit dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata SPNB sedang mengkaji keperluan membenarkan pembelian RMR secara tunai berbanding secara ansuran sebanyak RM300 sebulan selama 16 tahun bagi mengurangkan isu lambakan permohonan sedia ada.
Beliau berkata inisiatif itu dapat mempercepat urusan penjualan dan proses pembinaan rumah kerana modal pusingan boleh diperoleh dengan lebih cepat berbanding amalan biasa melalui perolehan kewangan daripada Kementerian Kewangan yang dilaksanakan dalam empat fasa setahun.
"Saya difahamkan permohonan sangat banyak sehingga mencecah 3,000 ke 5,000 permohonan yang layak setiap tahun.
"Sekiranya ada pemohon yang mampu untuk membeli secara tunai, kerajaan hanya perlu membayar subsidi berjumlah RM20,000 berbanding peruntukan penuh RM75,000 bagi setiap rumah dan ia akan mempercepat proses pembinaan," katanya.
Aiman Athirah berkata setakat ini sebanyak 3,000 unit RMR yang telah siap dan sedang dalam pembinaan daripada sasaran 5,000 unit rumah yang disasarkan untuk dibina tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami