Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan kesal dengan tindakan pemimpin Pakatan Rakyat mengaitkan UMNO dengan pengedaran dan penyebaran rakaman video lucah yang dipercayai melibatkan pemimpin kanan Pas.

Katanya, tindakan itu sangat tidak adil dan beliau hairan dengan sikap pembangkang yang sering mengaitkan UMNO dan Barisan Nasional apabila terjadi sesuatu perkara membabitkan pemimpin mereka.

Beliau bertanya, apakah semua perkara hendak disalahkan kepada UMNO sehingga "tayar basikal pancit tepi jalan pun salah Umno."

"Tidak adil apabila mengaitkan semua yang yang terjadi dengan UMNO, sepatutnya tuan punya badan tampil menafikan perkara itu.

"Kalau betul diri tak bersalah hantar video berkenaan kepada pakar untuk disahkan pelaku dalam video itu bukan dirinya," kata Ahmad seperti dipetik oleh Bernama.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Puspro Fama Daerah Pontian, Benut di sini, hari ini.

Ahmad mengulas laporan penemuan 16 sampul surat mengandungi gambar dan DVD lucah dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan Pas di Kampung Alor Lintang, Besut, Terengganu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai satu fitnah.

Beliau juga menegaskan penyebaran video tersebut bukan masalah besar kepada Pas dan pemimpin berkenaan yang dianggap mangsa fitnah tidak perlu memberi penjelasan kepada parti.