NATIONAL
Kenapa pergi jauh? KPJ kini di Kuala Selangor

Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan (kiri), Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Ismail Bakar semasa pelancaran Hospital KPJ Kuala Selangor.
KUALA SELANGOR: KPJ Healthcare Berhad pada Isnin melancarkan hospital ke-30 miliknya, Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor (KPJKS).
Dibina untuk merapatkan jurang dalam rawatan pakar swasta di daerah ini, KPJKS membawa harapan baharu buat komuniti dari Puncak Alam hingga ke Sabak Bernam.
Majlis pelancaran KPJKS disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Ismail Bakar serta ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan kanan syarikat itu.
Sebagai sebahagian daripada KPJ Health System, KPJKS menghubungkan kepakaran klinikal, pendidikan dan penyelidikan ke arah penjagaan kesihatan yang lebih holistik dan berinovasi.Menurut Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan, Kuala Selangor dipilih untuk memudahkan komuniti di daerah ini mendapat rawatan pakar swasta yang dituntut setelah sekian lama.
“Jadi sebab itulah kami kata, KPJ – kenapa pergi jauh, sedangkan kami sediakan kemudahan ini di sini untuk anda.
“Dan kalau kita lihat kawasan dari Puncak Alam, Tanjong Karang, sampai ke Sabak Bernam dan Sekinchan, kawasan-kawasan ini dalam lingkungan kira-kira 30 hingga 35 kilometer memang tiada langsung kemudahan penjagaan kesihatan swasta.
“Orang ramai selalunya terpaksa pergi jauh ke Klang, Rawang, atau Subang, memang sangat jauh dan amat menyusahkan.
“Sebab itulah, sejak sekian lama kami sedar adanya jurang dari segi akses kepada penjagaan kesihatan swasta, dan inilah sebab kami berada di sini, untuk berkhidmat kepada komuniti di kawasan ini,” kata Keat Chyuan selepas majlis pelancaran KPJKS.
Beroperasi sejak 22 Mac, KPJKS dilengkapi 60 katil dengan 14 pakar perunding tetap dan 8 pakar perunding sambilan, dibantu 188 kakitangan yang terdiri daripada pakar perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu dan staf sokongan.
Kurang sebulan beroperasi, KPJKS mendapat sambutan yang menggalakan.
“Dalam tempoh dua minggu pembukaannya, lebih daripada 500 orang sudah mendapatkan rawatan pesakit luar dan lebih kurang seratus pesakit dalam wad di sini.
“Kami juga gembira berjaya menyambut kelahiran bayi pertama walaupun baru beroperasi dalam beberapa minggu,” tambah Keat Chyuan.
KPJKS menawarkan perkhidmatan merangkumi pelbagai disiplin termasuk perubatan dalaman, pembedahan am, ortpedik, pediatrik, obstetik dan ginekologi, telinga, hidung dan tekak (ENT), radiologi, anestesiologi, gastroenterologi dan hepatologi.
Fasiliti ini juga lengkap dengan infrastruktur diagnostik dan rawatan terkini, termasuk sistem MRI 1.5 Tesla, pengimbas CT 160-slice, mamografi digital serta Sistem Super Inductive (SIS).
Dengan pelancaran ini, KPJKS bukan sahaja memperluas jaringan KPJ Healthcare, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam penjagaan kesihatan komuniti Kuala Selangor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami