HULU LANGAT: Jabatan Kerja Raya (JKR) menasihatkan agar mana-mana pengguna kenderaan agar tidak memasuki daerah Hulu Langat seandainya tiada keperluan.

Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman, keadaan hakisan di kawasan terbabit agak teruk dan pihaknya telah menempatkan pasukan bagi memantau tahap hakisan setiap hari.

"Yang penting ketika ini memang berlakunya hakisan yang teruk sehingga menyebabkan berlaku kerosakan jalan raya. Bagaimanapun JKR ketika ini akan memastikan bahawa laluan bagi keluar dan masuk mampu diakses ke kawasan berkenaan.

"Kita telah mengesan terdapat tiga lokasi berisiko hakisan di laluan jalan di Hulu Langat ketika ini dan kalau boleh kita perlu kurangkan kenderaan yang memasuki daerah itu agar tidak memburukan lagi keadaan," katanya ketika ditemui sewaktu meninjau lokasi hakisan berkenaan, di sini petang tadi.

Tambah beliau, pihaknya masih lagi melakukan pemeriksaan terperinci sebelum memutuskan untuk melakukan kerja-kerja pembaikian terhadap kerosakan tersebut, serta terpaksa menutup satu lorong jalan.

"Hakisan terhadap jalan raya yang rebis ini kita kesan masih lagi berlaku dari semasa ke semasa dan kita akan tentukan bentuk tindakan dalam masa terdekat. Kenderaan yang semakin banyak memasuki laluan ini juga akan memburukan lagi keadaan.

"Kerja-kerja baik pulih di laluan ini mungkin akan memakan masa dua hingga tiga minggu berikutan kesukaran yang dialami. Ini ditambah dengan arus air yang masih lagi deras di kawasan ini," katanya lagi.