HULU LANGAT: Kerja-kerja pemulihan jalan di sekitar Hulu Langat yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda kawasan itu hujung tahun lepas hampir selesai, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata bagi cerun di Jalan Bukit Peras, kerja-kerja pembukaan laluan kawasan berkenaan telah selesai dijalankan namun untuk kerja baik pulih sepenuhnya bergantung kepada dana yang bakal diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Untuk baik pulih kekal bergantung kepada peruntukan yang kita terima, setakat ini saya kira hanya sebahagian kecil yang kita terima, maknanya banyak lagi yang perlu kita laksanakan, ini bergantung kepada kemampuan kewangan khususnya dari pihak negeri Selangor itu sendiri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan pasca banjir di kawasan Hulu Langat melibatkan empat lokasi iaitu Jalan Bukit Peras, Jalan Sungai Lui, Kampung Jawa dan Jalan Industri yang terjejas akibat bencana banjir besar hujung tahun lepas.

Tinjauan pasca banjir itu memberi tumpuan kepada lokasi pembaikan infrastruktur awam oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terjejas di jalan negeri, jalan kampung dan cerun.

Sementara itu kerja-kerja menambak bahagian jalan raya bersebelahan sungai di Jalan Sungai Lui yang runtuh akibat banjir telah siap pada 15 Feb lepas dengan kos RM1.9 juta manakala pembaikan jalan rosak akibat tebing sungai runtuh di Jalan Industri juga telah selesai pada 21 Feb juga dengan kos RM1.9 juta.

-- BERNAMA